ULASAN: Di tengah-tengah kemelut krisis politik Terengganu selepas bekas MB Ahmad Said mengusul undi tidak percaya secara tergempar pada 8 Mac lalu, muncul spekulasi DUN Terengganu akan bubar pada bila-bila masa.
Hal ini kerana Ahmad Said berkemungkinan akan membentuk blok politik sendiri di negeri itu. Pada 13 Mei 2014 lalu, Ahmad, Adun Kijal dan dua lagi, Adun Ajil Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi Roslee Daud mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas kerana tidak berpuas hati dengan perlantikan MB baharu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.
Situasi itu menyebabkan kerusi BN Terengganu menurun kepada 14. Manakala PAS juga 14 dan PKR 1. Ahmad didakwa menemui pemimpin Pas Terengganu ketika itu untuk berunding namun Presiden Pas Hadi Awang dikatakan menolak sebarang pembentukan kerajaan baharu dengan Adun lompat daripada Umno.
Tidak sokong Ahmad
Menurut sumber dalaman Pas, penolakan parti itu ke atas Ahmad disebabkan tindak tanduk bekas MB itu yang mendiskriminasi penyokong Pas ketika menjadi MB sejak 2008.
Pas juga tidak boleh menerima masjid Bujal yang dibina ketika pentadbiran Hj Hadi dimusnahkan pada 2004. Masjid itu dibina di lot tanah yang dikurniakan kerajaan Pas kepada rakyat Terengganu sepanjang pemerintahan Barisan Alternatif (1999 – 2004). Masjid tersebut terletak dalam kawasan Ahmad, di Dun Kijal dan Pas mendakwa Ahmad bertanggungjawab terhadap kemusnahan masjid berkenaan.
Ahmad yang tidak berjaya berunding dengan Pas kemudiannya dipujuk oleh seorang tokoh agama yang rapat dengan MB Razif agar pulang ke pangkuan Umno.
Namun spekulasi terbaharu mendakwa Ahmad tidak lagi ‘makan pujuk’ dan penasihat agama Razif yang berjasa memujuk Ahmad dua tahun lalu telah pun meletak jawatan. Keadaan itu menimbulkan khabar angin berkemungkinan Dun Terengganu akar dibubarkan pada bila-bila masa.
BN ucap terima kasih
Respons kepada situasi itu, Pas Terengganu memanggil jentera pilihan raya dan mula mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya negeri dalam sebulan dua ini.
Namun menurut sumber dalaman, pembubaran Dun tidak mungkin berlaku biar pun Ahmad membawa keluar empat Adun sekali pun. Dakwa sumber tersebut, Pas Terengganu berkemungkinan besar akan menyokong MB Razif dalam apa jua keadaan.
Sumber itu juga mendakwa, BN telah mengucapkan terima kasih kepada pemimpin PAS kerana bersedia menolak sebarang usul tidak percaya daripada Ahmad mahu pun penyokongnya.
Oleh yang demikian, kerajaan BN Terengganu akan kekal sehingga ke penghujung penggal.