Polis sepatutnya menunggu sidang Dewan Rakyat ketika ini selesai, sebelum menyiasat dan menahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA)
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang mengutuk penahanan Setiausaha Agung PKR itu berkata, tindakan polis itu membuktikan mereka tidak menghormati Parlimen.
Menurutnya, siasatan di bawah OSA tidak perlu dipercepatkan, kerana kesalahan di bawah akta itu bukan “jenayah berat”.
Tambahnya lagi, penahanan Rafizi bertujuan menakut-nakutkan dan membayangkan wakil rakyat itu bersalah.
Sehubungan itu, beliau menggesa polis membebaskan Rafizi dengan segera, selewat-lewatnya sebelum jam 10 pagi Jumaat ini, supaya Rafizi boleh melaksanakan tanggungjawabnya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Dewan Rakyat telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya memastikan semua jalan menuju ke Parlimen tidak diganggu dan ahli parlimen bebas menjalankan tugas mereka dalam usul Menteri Dalam Negeri pada 8 Mac 2016 berbunyi :”Bahawa Majlis ini memerintah Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang,jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa apa halangan menghalang ahli ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini,jangan berlaku apa apa kacau bilau di jalan jalan menuju ke Dewan ini,dan supaya jangan ada huru hara di Banggunan Dewan ini dan berhampiran dengan banggunan ini,dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampai perentah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut”..
Rafizi ditahan sebaik keluar dari kawasan Parlimen semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, Rafizi ditahan di bawah Seksyen 8 OSA, kerana menyampaikan rahsia rasmi secara salah.