Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menafikan berlakunya rundingan atau pertemuan di antara mana-mana pemimpin tertinggi parti itu dengan bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Senator (B) Ezam Mohd Noor.
Menurutnya, spekulasi kembalinya Ezam ke dalam PKR hanyalah gimik laman web pro Umno sedangkan pihak PKR tidak tahu menahu mengenainya.
“Laporan itu datang dari Suara TV, laman Umno. Saya beranggapan berita ini adalah propaganda Umno untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu terkini mengenai Najib dan kerajaan,” katanya dalam mesej ringkas whatsapp.
Beliau menegaskan pihak PKR tidak pernah membincangkan kemasukan Ezam ke dalam parti dalam mana-mana mesyuarat dan tidak pernah berlaku perbincangan di antara Dr Wan Azizah bersama bekas senator tersebut sebagaimana didakwa oleh Suara TV.
“Tidak pernah ada sebarang perhubungan, komunikasi atau perbincangan seperti yang didakwa antara Ezam dan mana-mana pimpinan kanan parti, terutamanya presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah
“Saya juga tidak tahu menahu sama ada Ezam mahu menyertai PKR. Perkara itu bukanlah isu yang layak dibincangkan di peringkat tertinggi PKR,” akhiri Rafizi.