PKR mencadangkan pembentukan kerajaan campuran sebagai jalan menyelesaikan krisis yang didakwa berlaku antara Istana Terengganu dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Azan Ismail berkata pembentukan kerajaan campuran merupakan pilihan terbaik berbanding pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya baharu, atau menukar Menteri Besar baharu.
“Kita boleh bayangkan ketidakpercayaan atau keyakinan dari pihak Istana sudah hilang terhadap Ahmad Razif, apabila Sultan telah menarik kesemua gelaran.
“Ini juga bermakna Ahmad Razif perlu berjiwa besar dan seharusnya melepaskan jawatan Menteri Besar Terengganu,” katanya dipetik FMT.
Sebagai perbandingan, Azan menjelaskan perlantikan Menteri Besar baharu hanya merumitkan keadaan memandangkan jumlah kerusi pemerintah dan pembangkang yang sama iaitu 16-16, selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif baru-baru ini.
Manakala langkah pembubaran DUN pula menelan belanja yang banyak, menyusahkan rakyat dan Pilihan Raya Umum ke-14 yang semakin dekat.
“Apa yang penting kedua-dua belah pihak, BN dan pembangkang perlu bersetuju bentuk kerajaan campuran sehingga PRU dan menyerahkan kepada pihak Istana untuk melantik MB dari parti mana,” tegas Azan, yang juga ADUN Bandar.
Pertimbang tiga nama
Sebaliknya, Umno didakwa mempertimbangkan tiga nama Adun untuk dilantik sebagai menteri besar menggantikan MB Ahmad Razif. Sumber berkata, terdapat tiga nama yang mungkin layak menggantikan Razif, iaitu Nawi Mohammad, Adun Hulu Besut; Mohd Jidin Shafee, Adun Permaisuri dan Rozi Mamat Adun Temelong.
Manakala PAS pula menolak pembentukan kerajaan campuran.
Kedudukan kerusi DUN Terengganu ketika ini ialah BN 16, PAS 14, PKR 1 dan satu kerusi berkecuali apabila Datuk Ahmad Said tidak lagi menyokong Ahmad Razif memimpin kerajaan negeri.