Kesemua 13 calon Amanah adalah mereka yang bebas daripada status bankrap, tuduhan atau rekod jenayah dan lain-lain yang boleh melucutkan kelayakan mereka untuk bertanding, ujar Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim.
Walaubagaimanapun, tegas beliau, Kanun akan terus memantau ketelusan perjalanan PRU Negeri Sarawak bagi memastikan PRU Negeri berjalan dengan bersih dan adil.
Beliau juga menyeru agar pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri untuk terus meningkatkan tahap pemantauan perjalanan pilihanraya memandang ianya sudah memasuki fasa kedua iaitu tempoh berkempen yang dijangkakan akan menjadi sedikit tegang.
Wan Anwar juga mengingatkan pasukan keselamatan untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan sebarang provokasi dan intimidasi yang tidak wajar sepanjang tempoh berkempen terhadap parti-parti yang bertanding.
“Untuk meningkatkan pemantauan pematuhan undang-undang sepanjang proses pilihanraya, KANUN melalui Bilik Gerakan KANUN telah membekalkan hotline kepada jentera-jentera calon sebagai rujukan kepada peguam terhadap apa-apa isu yang berkaitan kesalahan-kesalahan pilihanraya,” kata beliau.
KANUN juga tegas Wan Anwar telah menghantar peguam-peguam petugas secara berfasa ke semua DUN yang ditandingi AMANAH bagi memperkemaskan proses pemantauan tersebut.