Bekas Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sikap ‘berpatah arang berkerat rotan’ terhadap Pakatan Harapan yang diamalkan oleh kepimpinan Pas hari ini dalam menghadapi dua pilihan raya kecil pada bulan hadapan.
Menurut Mahfuz, Pas pernah memaafkan bekas sekutu yang ‘menikam’ mereka dari belakang pada 1970an demi menewaskan Umno BN pada pilihan raya umum (PRU) 1990 lalu. Oleh itu, amat pelik apabila kepimpinan hari ini menganggap Pakatan Harapan sebagai musuh yang mesti diperangi.
“Belajarlah dari sejarah.Tahun 1990 Pas dan serpihan Umno Semangat 46 yang ketuai oleh YBM Tengku Razaliegh Hamzah, yang pernah terlibat dalam konspirasi politik mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan pada tahun 1978 telah dapat duduk dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
“Bukan sahaja Tengku Razaliegh tetapi APU itu turut disertai oleh Parti Berjasa yang lahir daripada krisis Pas pada 1977 apabila Allayarham Datuk Mohammad Nasir dipecat dari Pas dan menubuhkan Berjasa. Berjasa menyertai PRU 1978 dan bekerjasama dengan BN serta memenangi 11 kerusi Dun Kelantan dan membentuk kerajaan negeri bersama Umno.
“Namun pada PRU 1990 kepimpinan Pas ketika itu boleh berlapang dada membentuk kerjasama dengan APU yang melibatkan 3 parti yang pernah menjadi musuh iaitu Semangat 46,Berjasa dan Hamim, parti yang ditubuhkan oleh bekas Presiden Pas Datuk Asri Muda,” katanya.
Kerjasama dengan bekas musuh itu, sambung Mahfuz, telah berjaya memberikan kejayaan gemilang kepada Pas mengambil alih kerajaan negeri Kelantan pada PRU 1990 dan menobatkan Nik Aziz Nik Mat sebagai menteri besar sehingga 2013.
“Pada 1990, Berjasa yang pernah menjadi musuh diberi 1 kerusi exco kerajaan negeri dan Semangat 46 3 exco serta Timbalan Menteri Besar kedua. Kerajaan Kelantan kekal hingga ke hari ini di tangan PAS selepas berunding dan bekerjasama dalam pru 1990.
“Persoalannya, salahkah kalau Pas dan Amanah duduk berbincang dan bekerjasama untuk mengalahkan Umno BN dalam PRK dan PRU14 akan datang?
“Bagi saya, tidak salah untuk Pas duduk berbincang dengan Amanah yang merupakan parti yang lahir dari pergolakan krisis dalaman Pas yang dianggap pengkhianat jika itu boleh membantu membina kembali imej Pas dipersada politik Malaysia.
“Dan tidak salah juga untuk Amanah berbincang dengan Pas untuk mencari formula bagi mengalahkan Umno Bn.Kepada Amanah saya harap buang kemarahan pada Pas dan kepada Pas juga buang rasa geram pada Amanah.Apa pun Parti Amanah telah wujud dan semua pihak perlu mencari jalan untuk menewaskan BN demi Rakyat dan Malaysia,” katanya.