Masalah umat Islam kini ialah lunturnya persaudaraan disebabkan cabaran hidup yang mereka hadapi kini. Mereka menurut kemarahan kerana kejahilan, kemiskinan, pertelagahan, perpecahan, kerenggangan ukhuwah dan mahabbah.
Kerenggangan persaudaraan ini tidak kurang juga disebabkan oleh kezaliman pemerintah yang mengamalkan sikap pilih kasih, tidak adil serta zalim dengan sewenang-wenang mengikut nafsu membelakangkan undang-undang dan peraturan, perbezaan politik, perbedaan warna kulit, bangsa dan bahasa. Malah kebencian ini mungkin juga diusahakan oleh lawan politik mereka sekiranya mereka merupakan ahli parti politik atau pakatan politik tertentu.
Mereka berhadapan dengan “Perang Psikologi” parti lawan sehingga akhirnya mereka berbalah dan berpecah serta kehilangan arah tuju strategi politik yang betul dan tepat.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua (kumpulan) saudara kamu (yang bertelingkah); dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
Perjuangan politik dalam masyarakat majmuk yang berlandaskan demokrasi memerlukan kebijaksanaan dan kemahiran bergaul mesra dengan orang bukan Islam.
Suasana perang seperti zaman silam sudah berubah. Masyarakat kini berhadapan dengan warganegara dan rakyat dalam masyarakat madani yang berjuang untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketelusan, dan sebagainya.
Kesabaran yang tinggi diperlukan dalam konteks ini dalam menjalin keakraban kerjasama dalam persepakatan.
Sebab itu Allah berpesan kepada Nabi dan umatnya dalam Surah Al Ahqaf 35:
فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُوْلُوا الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَسْتَعْجِل لَّهُمْ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلاَّ سَاعَةً مِّن نَّهَارٍ بَلاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلاَّ الْقَوْمُ الْفَاسِقُون
Oleh itu, bersabarlah wahai Muhammad, sebagaimana sabarnya rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati, dan janganlah engkau meminta agar azab disegerakan untuk mereka. Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan itu kelak, mereka berasa seolah-olah tinggal di dunia ini hanya sesaat siang hari sahaja. Tugasmu hanya menyampaikan. Maka, tiada yang dibinasakan kecuali kaum yang tidak taat kepada Allah.
Anjuran Allah agar umat hidup bersaudara dan bersatu padu serta berpakat sangat jelas dalam surah Ali Imran 103:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Sebenarnya kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
Budaya yang sihat dalam kalangan orang yang beriman ialah saling bekerjasama, bermuafakat, bersangka baik, mendoakan kesejahteraan satu sama lain. Mereka bukan golongan yang saling melaknat, mencela dan merendahkan satu sama lain; tetapi sebaliknya sangat santun-menyantuni antara mereka. Segala teguran dilakukan secara tertib, beradab, menurut saluran yang sesuai dan beradab.
Persaudaraan dalam hubungan rapat dan mesra antara seseorang atau kumpulan berteraskan prinsip kebenaran dan nilai murni serta matlamat utama dalam kehidupan.
Ia mempunyai spektrum yang luas, merangkumi sesama orang yang beriman, atau kumpulan manusia berbagai bangsa dan agama dalam sebuah negara, atau antara negara dan masyarakat manusia antarabangsa yang berlainan agama.
Allah berfirman dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 7-8:
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Semoga Allah mentakdirkan bercambahnya rasa kasih mesra antara kamu dengan kumpulan yang sebelumnya kamu bermusuh menjadi sahabat yang mesra. Allah memang berkuasa berbuat demikian dan Allah Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang.
Allah tidak menghalang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan yang tidak memerangi agama kamu dan tidak pula mengenyahkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah suka (sayang) orang yang bersikap adil dan saksama.
Ustaz Abdul Ghani Samsudin
Timbalan Penasihat Umum AMANAH