Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli calon lelaki tunggal Pakatan Harapan yang akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
Ahmad Termizi, 61, (sebelah kanan Mohamad Sabu) calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. Pemegang Diploma Fizik Pengionan dan Ph.D Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.
Beliau juga bekas profesor di Jabatan Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.
Pengiystirahan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kuala Kangsar malam ini diumumkan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dikalangan pimpinan tertinggi parti gabungan Pakatan Harapan.
Dengan pengumuman Ahmad Termizi sebagai calon maka pengundi di Parlimen Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua calon wanita iaitu Datin Mastura Abdul Yazid dari BN dan Dr Najihatussalehah Ahmad dari Pas.
Semalam di Sekinchan, Pakatan Harapan telah mengumumkan calonnya Ketua Amanah Sungai Besar Azhar Ab Shukur bagi PRK Sungai Besar. Azhar akan berhadapan dengan Budiman Ahmad Zohdi dari BN dan Dr Abdul Rani Osman dari Pas.
Ini bermakna bagi dua kerusi Parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pakatan Harapan dan Pas.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khair-il-Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan tarikh penamaan calon pada Ahad ini dan hari pengundian pada 18 Jun.
BIODATA CALON
Dilahirkan di Kampung Suak Petai, Manong, Kuala Kangsar pada tahun 1954. Merupakan anak sulong daripada 12 adik beradik. Berkahwin dengan isterinya Puan Kamaliah Noordin dan dikurniakan 9 cahaya mata serta 14 orang cucu.
Kerjaya:
Beliau merupakan pakar rujuk dalam bidang nuklear fizik dan jawatan terakhir beliau adalah Profesor di Universiti Teknologi Malaysia. Kepakaran beliau diiktiraf International Atomic Energy Agency dengan beberapa kali dipanggil agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu itu untuk menyumbang kepakaran beliau.
UTM.
1979- Penolong Pensyarah A.
1981-Pensyarah
1993-Prof. Madya
1997-Profesor (C)
2013-Profesor (B)
Tamat perkhidmatan 2016.
Ketua Jabatan Fizik 1988 – 1990
Pengarah Unit Perlindungan Sinaran 1991 – 2004
Ahli Senat 2011 – 2016.
Pendidikan:
1960, Sekolah Kebangsaan Bagan Serai,
1965, Sekolah Kebangsaan Selama, Perak.
1967, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, STAR, Ipoh. LCE.
1971, Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi MCE.
1973, People’s College of Further Education. A-Level.
1975, University of Leeds, UK, B.Sc. (Hons) Fizik.
1980, University of Salford, UK, M.Sc. Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. 1984, University of Swansea, Wales, Diploma Fizik Pengionan dan Ph.D Fizik Perubatan.
Pencapaian
Dr. Ahmad Termizi pernah dilantik sebagai Presiden, Malay Society of United Kingdom ketika zaman pengajiannya di United Kingdom. Beliau bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarkatan melalui Pertubuhan Ikram Malaysia dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat dari tahun 2010 ke 2015. Dianugerahkan Pingat Darjah Paduka Cura Si Manja Kini oleh DYMM Almarhum Sultan pada tahun 2001.