CATATAN HUJUNG: Minggu ini saya mengambil sedikit masa untuk membersihkan buku-buku saya yang berdebu dan disusun semula. Saya terjumpa satu buku berjudul “Jumaat Bersama Tok Guru” yang pernah saya baca satu ketika dahulu.
Buku ini mengandungi kuliah-kuliah terpilih Allahyarham TG Nik Aziz pada hari Jumaat.
Kebetulan minggu ini juga datang ribut kecil apabila seorang mufti menjatuhkan hikum kafir harbi terhadap DAP yang bermakna mereka boleh diperangi (agaknya termasuklah yang beragama Islam di dalam DAP).
Kisah penggemis Yahudi
Saya ditanya ramai pihak lalu saya teringat satu kuliah Allahyarham TG Nik Aziz dari buku ini yang sangat sesuai saya kongsikan dengan semua berhubung ribut kecil kafir harbi ini:
Kisah Rasulullah Dan Pengemis Yahudi (mukasurat 203 hingga 205)
Di sudut pasar Madinah al-Munawwarah ada seorang pengemis Yahudi yang buta matanya.
Setiap orang yang menghampirinya akan diingatkan oleh si buta itu dengan kata-kata, “Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir. Apabila kamu semua mendekatinya kamu semua akan dipengaruhinya.”
Namun setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata pun baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang yang bernama Muhammad.
Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang kewafatan baginda. Setelah baginda wafat, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta itu.
Suatu hari Abu Bakar RA berkunjung ke rumah puterinya, Aisyah RA. Beliau bertanya kepada puterinya, “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayahanda lakukan?”
Aisyah RA menjawab, “Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah sahaja.”
“Apakah itu?” Abu Bakar RA bertanya.
“Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Dia ada di sana,” Aisyah
Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.
Ketika Abu Bakar RA mula menyuapinya, si pengemis itu marah dan berteriak, “Engkau siapa?”
Abu Bakar RA menjawab, “Saya orang yang biasa.”
“Bukan, Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab pengemis tua itu.
“Apabila dia datang kepada saya tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku dengan lembut,” pengemis itu meneruskan kata-katanya.
Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.”
Selepas pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun turut menangis. Kemudian dia bertanya, “Benarkah begitu? Selama ini saya selalu menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan kepada saya setiap pagi. Dia begitu mulia.”
Pengemis buta itu akhirnya bershahadah di hadapan Abu Bakar RA.
Kafir harbi menyimpang
Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang itu mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah kepada sesiapa sahaja. Apa yang dikesalkan, ada segelintir pendakwah suka menyusahkan atau memarahi orang bukan Islam, hingga sanggup melayan mereka dengan cara yang salah sedangkan mereka juga adalah umat Rasulullah SAW.
Menjatuhkan hukum kafir harbi ke atas orang bukan Islam yang tidak sependapat mengenai satu rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen itu sangatlah menyimpang.
Jika pun dikatakan rang undang-undang itu bertujuan memartabatkan mahkamah syariah ke arah pelaksanaan hudud, soal keutamaan mendahulukan pelaksanaan hudud di dalam masyarakat Islam yang majmuk pun ada perbezaan di antara ulama’ dan pakar-pakar perundangan Islam.
Saya merujuk khusus contohnya kepada pendapat Dr Mohamed Salim El-Awa (bekas Penasihat Undang-undang Negara Teluk, bekas Profesor Undang-undang Universiti Riyadh, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Ulama’ Dunia, bekas calon Presiden Mesir dan kini peguam kepada Muhammad Morsi, presiden Mesir yang digulingkan) di dalam bukunya (yang diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris) “Punishment In Islamic Law” terutamanya kesimpulan beliau mengenai pelaksanaan undang-undang hudud di mukasurat 134 hingga 138.
Pendirian saya mengenai pelaksanaan undang-undang hudud sebelum ini adalah berpandukan kepada pandangan beliau (selain dari pandangan ulama’ dan pemikir Islam yang lain) bahawa orang Islam menerima hudud sebagai sebahagian dari syariat Islam.
Oleh itu, soal perbezaan pendapat dalam pelaksanaan undang-undang hudud sekarang sebenarnya adalah khilaf mengenai keutamaan untuk mendahulukan syariat-syariat lain di dalam masyarakat, bukannya soal menolak hukum Allah sehingga boleh dilabelkan dengan pelbagai nama.
Kuliah Allahyarham TG Nik Aziz yang mengimbau sirah Rasulullah SAW dengan seorang pengemis Yahudi tadi sepatutnya menginsafkan kita orang Islam mengenai sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah. Ia ingatan kepada saya dan ingatan kepada semua.
Rafizi Ramli