Sudah wujud desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun ini dengan kebarangkalian yang tinggi pada bulan November atau pun Disember.
Sebab utama adalah keyakinan PM Najib Razak bahawa Pakatan Harapan (PH) semakin lemah lewat kekalahan berganda dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar serta Sungai Besar selepas kalah di pilihan raya negeri Sarawak.
Penyokong PH juga berpendapat sedemikian dan detik terbaik ialah dalam beberapa bulan ini kerana Pakatan seolah-olah kehilangan hala tuju.
Eric Tan, anggota DAP berusia 73 tahun berkata pemimpin PH perlu segera menangani persepsi gabungan itu sedang bergerak ke arah tidak menentu jika ingin mengekalkan prestasi kemenangan dalam PRU 13 lalu.
“Persepsi adalah penting walaupun ia tidak disokong oleh fakta yang mantap, kerana rakyat akan mengundi ikut persepsi. Jika PH kelihatan lemah, maka ada pengundi atas pagar yang lebih rela mengundi BN kerana BN telah mempunyai imej yang kukuh dan stabil,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam Ir Khalid Samad berkata, masih terlalu awal untuk menilai PH sebagai gabungan yang terumbang ambing. Walaupun beliau setuju PRU mungkin diawalkan berdasarkan mood kemenangan BN.
“Bila kami perlu menghadapi PRU14, kami akan bergegas dan bersedia menghadapinya,” ujar beliau ringkas.
Manakala Ahli Jawatan Kuasa Pusat Amanah Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin pula memberitahu partinya sedang membuat persediaan ke arah pilihan raya mengejut.
“Kami sedang meneliti senarai calon di mana terdapat calon dari golongan profesional dan juga ulama. Ya, kami bersedia kalau Parlimen dibubarkan tahun ini,” tegas Nizar.
Apa pun, menurut Eric Tan yang gemar membaca buku strategi Cina seperti ‘The Art of War’ yang ditulis oleh Sun Tzu, masa untuk mengadakan PRU14 paling sesuai adalah pada tahun ini yang mana pembangkang tidak mungkin mampu bersedia sepenuhnya.
“Ketika musuh lemah, itulah masa untuk menyerang. Saya juga telah menghantar banyak pesanan teks ringkas kepada pemimpin Pakatan supaya segera membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya mengejut,” kata Eric.