Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.
PERUTUSAN: Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan Aidilfitri bagi tahun 1437 Hijrah.
Menjelangnya Syawal yang dirai sebagai bulan kemenangan, dilapisi dengan lafaz takbir dan tahmid mesti terus dikekalkan beristiqamah agar segala bentuk kebaikan dan kebajikan seperti ibadah solat, bertasbih dan bersedekah sepanjang madrasah Ramadan ini terus memberikan kesan yang baik pada diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan diberkati Allah SWT.
KEADILAN terus komited ke arah memupuk muafakat berteras semangat Malaysia yang sebenar: bersendikan prinsip adil, demokratik dan toleran. Di sinilah hadirnya keperluan untuk kita kembali memaknai prinsip Hablumninallah dan Habluminannas, dengan kembali kepada fitrah insani di sebalik kegembiraan perayaan.
KEADILAN terus memberi perhatian kepada penderitaan umat Islam dan manusia seluruh dunia yang berhadapan dengan penindasan dan ketidakadilan yang kita insafi bersama-sama, di saat kita mampu mengukir senyum dan bersilaturrahim di hari lebaran ini.
KEADILAN juga sedari tiada ada erti amalan Ramadan kareem dan kesyukuran Syawal mubarak jika kita tidak insafi bahawa usaha kita sebagai khalifah Allah mesti digandakan memandangkan Malaysia berhadapan dengan krisis kepimpinan yang kritikal mutakhir ini.
KEADILAN mengajak ilmuan Islam supaya berdakwah dengan hikmah wal mau’izatil hasanah dan berusaha mendekati masyarakat bukan Islam dengan menonjolkan keadilan Islam.
Firman Allah:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah An-Nahl : 125)
Kita juga kesal dan bimbang dengan tindakan pendakwaan secara berpilih terhadap pemimpin yang tidak sealiran dengan kerajaan. Ianya merupakan suatu kezaliman dan penindasan yang berterusan sejak pelbagai fitnah terancang dilemparkan terhadap Ketua Umum KEADILAN.
KEADILAN juga bimbang dengan perkembangan mutakhir yang membabitkan serangan militan di ibu negara dan menggesa pihak kerajaan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi rakyat.
KEADILAN turut bersama rakyat membulatkan tekad dan iltizam untuk memperkemaskan usaha memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan tatakelola bermasalah yang semakin membarah dan keterlaluan semata-mata untuk kepentingan mereka yang sepatutnya memimpin dengan penuh amanah.
Justeru, sempena Aidilfitri ini, marilah kita menjiwai makna Islam yang hanif, dengan menyantuni kebenaran, keadilan dan kedamaian di kalangan sesama ummah. Praktikkan amalan bersedekah, kerana ianya bukan hanya baik untuk kita, malah membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
Salam Aidilfitri buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan dan akar umbi KEADILAN dengan ucapan maaf dzahir dan batin.
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
1 Syawal 1437H