Senario politik tanah air seolah-olah tidak bermaya selepas kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkemungkinan akan menjadi lebih bergelora selepas Hari Raya Eidilfitri ini.
Walaupun tanggapan umum kedudukan BN, khususnya Perdana Menteri Najib Razak lebih kukuh selepas pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil namun rakyat atas pagar masih berpendirian BN tidaklah sekuat mana. Cuma pembangkang dilihat tidak mempunyai pemimpin pencetus semangat untuk rakyat menjana gelombang baharu penentangan.
Dalam tinjauan Suara pakatan daily ke atas penyokong Pakatan Harapan (PH) terbukti mereka menantikan seorang ‘Anwar’ baharu muncul bagi merancakkan kembali kekuatan gabungan itu.
“Pada masa ini, Pakatan tiada seorang ‘crowd-puller’ atau pencetus semangat yang mampu menarik ramai hadirin semasa berceramah serta menyokong gabungan.
“Itulah kebolehan istimewa Anwar Ibrahim. Anwar mampu menentukan rentak politik Pakatan Harapan. Tanpa Anwar, gerak kerja Pakatan kelihatan bercelaru,” kata Albert Yong, 80, seorang penyokong DAP di Kepong Baru.
Seorang lagi penyokong PH, Gopalsamy, 70, berpendapat pengaruh Dr Mahathir dalam kalangan orang Melayu tidak boleh diremehkan.
Katanya, keputusan pilihan raya kecil Kuala Kangsar atau Sungai Besar bukanlah petunjuk rasmi keupayaan Dr Mahathir kerana beliau tidak berkempen sepenuh masa di sana.
Beliau juga memberi nasihat kepada PH agar lebih berhati-hati kerana pilihan raya ke 14 adalah pukulan maut berikutan suasana ekonomi dan sosial yang semakin memburuk. Jika PH tidak bersedia maka bermungkinan gabungan itu yang akan menerima pukulan politik tersebut.
“Kita sedang menunggu adakah apa-apa peranan yang boleh dimainkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam persada politik tanah air kerana pengaruh beliau memang tidak boleh diremeh-temehkan.
“Pakatan juga patut sedar bahawa Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan menentukan koalisi mana yang akan menerima pukulan maut,” ujar Gopalsamy, seorang pemandu teksi di Kuala Lumpur.