Sokongan wakil rakyat PAS Selangor supaya gencatan senjata diadakan di kalangan parti-parti pembangkang mampu menyaksikan pembangkang menjadi lebih besar, kuat dan bersatu, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sambil menyambut baik kenyataan 13 ADUN itu hari ini, beliau berharap perkembangan itu akan membawa kepada pertandingan satu lawan satu antara parti pembangkang dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya berharap kenyataan ini seterusnya dapat membantu langkah-langkah membentuk gabungan pembangkang yang besar, bersatu – kuat, dan menghasilkan perlawanan satu lawan satu antara pembangkang dengan BN dalam PRU14,” kata Saifuddin kepada Malaysiakini.
Beliau juga berharap kejayaan negeri-negeri yang diterajui oleh pakatan di Selangor dan Pulau Pinang akan mendorong lebih ramai rakyat untuk menyokong pembangkang sebagai alternatif kepada parti pemerintah.
“Pada masa yg sama, Pakatan Harapan mahu supaya dua buah negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang, berjaya dengan cemerlang.
“Khusus di Selangor, kerajaannya melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan dan PAS,” katanya.
Menurut Saifuddin, kejayaan Selangor dan Pulau Pinang amat penting bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka layak dan mampu mengurus-tadbir dengan baik sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan persekutuan.
Sokongan 13 ADUN terhadap tawaran gencatan senjata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dibuat selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa ia semata-mata idea peribadi timbalan presiden itu.
ADUN Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman mengesahkan kepada Malaysiakini kesahihan kenyataan terbuka sokongan yang dimuat naik di Internet.
“Betul (kenyataan itu), tetapi tidak bermakna kita tolak presiden,” kataYunus, yang juga anggota exco Selangor sambil menambah ini tidak bermakna mereka menentang presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Lima hari lalu, Tuan Ibrahim menggesa pembangkang untuk berhenti menyerang satu sama lain dan hanya memberi tumpuan kepada perjuangan menentang BN.