Pengumuman menggemparkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) bahawa antara 2009 dan 2015, hampir RM14 bilion (USD3.5 bilion) telah dikeluarkan secara haram dari 1Malaysia Development Berhad oleh beberapa individu termasuk Riza Aziz, anak tiri Dato’ Sri Najib Razak, dan Jho Low, dengan pengetahuan dan kelulusan seorang individu yang diberi nama “Malaysian Official 1” menyebabkan Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi kata dua kepada PM Najib Razak.
Menurut satu kenyataan, Majlis Presiden PH menuntut agar perdana menteri bercuti serta merta dan menasihati Yang di-Pertuan Agong menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja serta memanggil sidang tergempar parlimen.
“Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil cuti dari jawatan Perdana Menteri pada kadar segera, oleh sebab wujudnya persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan termasuk pejabat Peguam Negara, Polis Di-Raja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan oleh kerana isu ini berkait rapat dengan bidang kuasa malah juga jangkamasa beliau memegang jawatan tersebut;
“Kabinet perlu menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menitahkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja – yang terdiri daripada individu-individu yang tiada kaitan dengan mereka yang didakwa terlibat di dalam isu ini – untuk menyiasat dakwaan-dakwaan berat ini; dan
“Satu sidang Parlimen tergempar perlu dipanggil segera, supaya Dato’ Sri Najib boleh memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini kepada Ahli-Ahli Parlimen,” kata kenyataan berkenaan.
Dalam kenyataan bersama itu juga, Majlis Presiden PH berkata, jika “kata dua” itu gagal dipenuhi, mereka akan menggerakkan rakyat untuk “tindakan politik” pada 30 Julai depan sebagai tanda protes.
Kenyataan itu membayangkan PH mungkin menganjurkan tunjuk perasaan besar mendesak Najib berundur.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemangku pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
DOJ semalam mengumumkan langkah untuk menyita aset berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB – yang bakal menjadi rampasan terbesar dalam sejarah AS.