Kenyataan bahawa kerajaan BN akan mengkaji bagaimana untuk menangani kos sara hidup yang meningkat dianggap suatu retorik kosong bagi menyedapkan hati rakyat.
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata demikian mengulas tajuk akhbar 2 Ogos lalu, kononnya kerajaan prihatin atas isu harga barang yang melambung naik.
“Kerajaan selalu kata begitu tetapi ia hanya retorik kosong sebab sehingga hari ini kos sara hidup telah naik begitu tinggi dan kerajaan masih gagal menanganinya,” kata Nizar yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Perak kepada Suara pakatan daily (SPD).
Menurutnya, kerajaan BN sepatutnya telah lama mengkaji dan sekiranya mereka mempunyai data kajian tentulah kenaikan tol, tambang pengangkutan awam dan sebagainya tidak dibenarkan meningkat.
Tinjauan SPD ke atas dua orang pesara berumur 70-an mendapati mereka sangat terkesan dengan peningkatan harga barang ketika tidak memiliki wang yang banyak pada usia tua.
Mereka berpendapat kerajaan BN telah gagal mengawal harga barang runcit. Kedua-duanya juga menentang cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Kawalan Harga yang mengenakan denda kepada peniaga sekiranya menaikkan harga barang sesuka hati.
“Kalau Akta Kawalan Harga dihapuskan, maka harga barang runcit akan melonjak tinggi lagi.
“Ini jelas membuktikan kerajaan tidak prihatin dan tidak mempedulikan nasib rakyat biasa terutamanya warga marhaen,” kata Albert Kam, seorang daripada pesara itu.
Katanya, kerajaan tidak perlu meminta rakyat berlanja berhemah kerana rakyat biasa sudah pun mengikat perut sejak dua tahun lalu apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan.
Tinjauan kedai di kopi Cina di kawasan Kepong dan Segambut, Kuala Lumpur pula mendapati perolehan pendapatan mereka susut lebih daripada 30 peratus malah ada yang hampir lenggang kerana kekurangan pelanggan.
Kedai-kedai yang menjual alat tulis, perabot, barangan logam semuanya melaporkan angka jualan telah menjunam sejak beberapa bulan kebelakangan ini.