Bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa menyaman firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Amerika Syarikat.
Matthias dan Husam memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.
Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.
Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada Selasa di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, menurut The Hollywood Reporter.
Menurut pemfailan mahkamah, Chang dan Husam mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.
Goldman Sachs Group dan bekas jurubank Timothy Leissner juga dinamakan.
Plaintif mendakwa individu-individu dan entiti yang terlibat dalam urus niaga yang menjurus kepada kecurian dana 1MDB.