Forum Wacana Harapan di Rumah Gerak Budaya bermula malam tadi dengan panel pertama, Datuk Zaid Ibrahim menempelak pengurusan negara yang dikatakan penuh dongengan.
“Kita diajar percaya dongeng-dongeng pengurusan negara. Kita diajar percaya wang yang masuk ke akaun Najib itu berlaku tanpa sebab,” katanya.
Menurutnya, skandal 1MDB bukan sekadar kehilangan wang bahkan lebih daripada itu menggambarkan kerosakan nilai kepimpinan negara.
“Saya yakin dia (Najib) akan terus guna kuasa yang ada sama ada sah atau tidak sah, dia akan terus bertindak sedemikian,” kata Zaid.
Panel kedua, bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa berkata, satu Suruhanjaya Diraja masih diperlukan untuk meneliti isu 1MDB.
“Kita mendesak parti-parti komponen BN untuk menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat 1MDB, ” kata Husam
Panel ketiga, peguam terkenal Zainur Zakaria berpendapat, penyelewengan dalam dokumen saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika begitu terperinci oleh itu pihak berkuasa di Malaysia perlu bertindak ke atas mereka yang dinamakan.
“Siasatan ini dilakukan oleh FBI. Tindakan yang diambil di bawah prosedur jenayah.
“Kalau tiada perlakuan jenayah, mereka tidak boleh lancarkan saman sivil itu.
“Saya berterima kasih kepada DoJ yang sudi mengambil tindakan itu padahal polis, Peguam Negara cuci tangan
“Bagi balaci Umno yang anggap saman itu bukannya jenayah, mereka salah. Tindakan diambil menurut undang-undang jenayah,” ujarnya.
Zainur turut membacakan butiran jenayah yang dilakukan antaranya Jho Low dan Riza Aziz membabitkan ratusan juta ringgit.
“Paling kita marah apabila sejumlah RM2.8 bilion mengikut dokumen ini yang masuk ke akaun Malaysian Official 1 melalui Ambank dan disahkan Peguam Negara.
“Mana pergi RM14 bilion ini kalau tidak berlaku kerugian seperti didakwa 1MDB?” tanya Zainur.
“Ini semua kegiatan penggubahan wang haram tetapi pihak berkuasa kita tidak ambil tindakan. Lebih aneh sehingga hari ini tidak ada siapa pun mencabar atau menafikan keterangan yang terkandung dalam aduan DoJ.
“Ahli Umno pun, saya tak tahu apa jenis manusia.
“Kita menyampaikan fakta dan keterangan yang ada asas bukan fiksyen apa lagi mempertahankan penjenayah,” kata Zainur lagi.
Manakala Pengerusi Gabungan #TangkapMO1 Anis Shafiqah Md Yusuf pula berpandangan salah satu punca lemahnya kebangkitan anak muda termasuk dalam isu 1MDB disebabkan krisis dalam politik tanah air baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang.
Beliau berkata, anak muda dilanda “fatique syndrom” iaitu sindrom tidak mahu ambil tahu langsung tentang politik dan ini satu kebimbangan besar.
“Politik bukan sekadar parti sahaja tapi bagaimana kita menangani masalah-masalah dalam negara.
“Perlu ada semula kebangkitan anak muda dan saya serta kawan-kawan saya fikir perlu tunjukkan anak muda perlu bangkit dan menentukan kepimpinan dalam negara.
“Perubahan untuk negara, kita perlukan dua perkara yang penting iaitu di jalan raya dan pilihan raya.
“Anak muda sebagai agen pendesak kepada pihak berkuasa,” katanya
Panel terakhir, bekas setiausaha politik Tun Mahathir, Matthias Chang menceritakan sebelum PRU13 beliau berkempen bagi pihak BN tapi waktu itu tidak tahu (tentang 1MDB).
“Bila satu jenayah jadi begitu besar dan berlaku penggubahan wang haram, 1MDB ialah satu ‘criminal enterprise’.
“1MDB satu simptom kanser politik yang sebelum ini tidak ada dalam sejarah negara,” tegasnya.
“Setiap menteri takut. Dia tak tahu (saman sivil DoJ). Semua tidur dalam Kabinet. Kenapa? Tak berani,” soal Matthias.
Menurutnya, rakyat harus mendesak pemimpin masing-masing supaya menyatakan pendirian menolak kepimpinan Najib jika mereka benar-benar yakin dengan pegangan agama yang dianuti.
“Bertuhankan Allah bukan Najib. Jika kamu meletakkan diri sendiri, utamakan perut, tiada semangat melawan,” tegas beliau lagi.