Ahli Parlimen DAP Lim Lip Enng mempersoalkan angka oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan terbarunya bahawa pendapatan isi rumah 2014 meningkat daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,141.
Ahli parlimen Segambut itu percaya rakyat Malaysia tidak mengambil serius laporan tersebut kerana angka yang dipetik jauh daripada realiti.
Ini katanya, memandangkan tiga hingga empat daripada 10 individu dewasa berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Lim memberikan contoh bahawa kerajaan pada bulan Mac lalu mengumumkan telah meluluskan 7.1 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Bagaimanapun bantuan ini hanya diberi kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.
Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 31.7 juta orang dan 36 peratus daripada mereka atau 11.4 juta berusia di bawah 20 tahun, dan baki 20.3 juta rakyat Malaysia dianggap dewasa.
“Tahun ini, 7.1 juta orang daripada 20.3 juta orang dewasa akan menerima BR1M. Ini bermakna bahawa dalam setiap 10 rakyat Malaysia dewasa, tiga hingga empat orang berpendapatan kurang daripada RM4,000 bagi setiap isi rumah.
“Bagaimana ia boleh menjadi kemungkinan bahawa pendapatan isi rumah RM6,141 sebulan telah dicapai jika ia adalah jelas bahawa tiga hingga empat orang dalam setiap 10 orang dewasa berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan?” soalnya.
Lim turut mempersoalkan sama ada angka RM6,141 akan mengecut jika KRI mengecualikan 200 individu terkaya daripada kaji selidik itu.
“Daripada membuat pengumuman syok sendiri bahawa Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Barisan Nasional harus menerima hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini untuk nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah yang tertinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia Pasifik,” katanya.
Awal minggu ini, Bernama melaporkan bahawa pendapatan isi rumah pada tahun 2014 meningkat sebanyak RM1,141 sebulan kepada RM6,141 pada 2012.
Ia dikatakan berpunca daripada hasil peningkatan sumbangan pemindahan tunai seperti pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta hartanah dan pelaburan.
Mengikut Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk Keadaan Isi Rumah II, kadar peningkatan kelompok kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah adalah yang paling pantas.