Kehebatan calon PAS Normala Sudirman terus diperkatakan. Sikapnya yang memegang teguh prinsip agama tidak bersalaman dengan bukan muhram dihormati oleh masyarakat berbilang bangsa di Tenang biarpun pernah dijadikan bahan sindiran oleh Presiden MCA di awal berkempen.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Hassan Nasrudin Tantawi, sikap berkenaan akhirnya meraih penghormatan dari rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat. Ia juga disanjung oleh orang Melayu Islam kerana menunjukkan akhlak yang terpuji kepada bukan Islam.
“Ketika pertama kali saya menyampaikan ceramah di Felda Tenang bersama Cikgu Mala saya tertarik dengan ungkapan ” …. tangan yang menghayun buaian ini insyaallah akan menggoncangkan dunia ….”
“Ternyata beliau tidak perlu menunggu lama, hari kedua turun berkempen tangan beliau telah menggoncangkan ketenangan Umno dan BN di Tenang. Kelam kabut sekutu rapat Umno iaitu MCA melalui Presidennya mempersoalkan kenapa calon PAS tidak bersalam dengan lelaki yang bukan mahram
“DAP dan PKR cepat memahami situasi ini lantas mengambil langkah mempertahankan tindakan Cikgu Mala malah sangat menghormatinya kerana mengetahui ia adalah prinsip agama. Prinsip agama inilah menjadikan PAS sebuah parti yang teguh dan berdisiplin. Malang MCA gagal pula memahami situasi ini biarpun sekian lama berselimut dengan Umno dalam BN.
“Jawapannya mudah, kerana MCA tidak melihat prinsip ini wujud di dalam Umno. Pemimpin wanita mereka bukan sahaja boleh bersalaman sesuka hati malah boleh berlaga pipi, boleh berpelukan dan sebagainya. Akhirnya Presiden MCA sendiri keliru angkara Umno yang tidak mempertahankan prinsip beragama. Inilah fitnah besar dari kegagalan Umno menjalani kehidupan sebagai sebuah parti yang patuh pada suruhan agama,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Nasruddin, kontroversi yang sengaja dicetuskan oleh MCA sebaliknya memakan diri BN dengan menyerlahkan sikap hipokrit mereka terutama Umno yang selama ini menghentam PAS kerana bersekongkol dengan DAP yang kononnya anti Islam.
“Selama ini Umno berhujah kononnya DAP anti Islam, kafir harbi dan macam – macam tuduhan lalu mempersoalkan kenapa PAS bekerjasama dengan DAP ? Kini Allah swt mendedahkan siapa pula MCA di sisi Umno ? secara terbuka kini MCA melalui Presidennya menghina Islam dan mempersendakan umat Islam yang beramal dan berpegang teguh dengan amalan Islam itu. Sementara DAP pula semakin hari semakin lunak dan memahami asas Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
“Terbaru melalui perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi DAP karpal Singh mengenai negara Islam yang ditentang oleh beliau sejak dulu. Beliau tidak lagi keras menolak negara Islam sebaliknya menganggap isu ini boleh dibincangkan. Ia satu perkembangan yang positif berbanding sikap MCA yang terus kekal dalam kejahilan sejak lama dulu sehingga sekarang,” jelasnya.
Bagi Nasruddin, pengundi di Tenang lebih matang daripada MCA dan BN, bagi mereka isu bersalaman hanyalah perkara kecil dan tidak boleh dijadikan kayu ukur kemampuan seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik.
“Tidak bersalaman oleh seorang perempuan yang teguh agamanya dengan seorang lelaki bukanlah suatu perkara ganjil dalam negara ini yang majoriti penduduknya adalah muslim. Bahkan tidak sepatutnya ia menjadi isu. Justeru ia bukanlah satu tindakan yang boleh merosakkan kemesraan dan hubungan dengan masyarakat. Sebaliknya masih banyak elemen lain yang lebih penting untuk membentuk kemesraan dan hubungan dengan masyarakat seperti ziarah, kebajikan, bertanya khabar dan lain – lain.
“Sungguhpun tanpa “salam tangan”, calon pilihan ini tidak menang tangan dan senyuman untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa pula mengira latar belakang kaum dan jantina. Lebih menarik apabila masyarakat menilai bahawa Cikgu Mala adalah seorang yang teguh peribadi dan berprinsip. Itulah kriteria seorang pemimpin yang diperlukan oleh rakyat,” kata Nasruddin lagi.