Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan tentang perlunya gabungan pembangkang yang menyeluruh termasuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP walaupun PAS ‘jual mahal’, mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengannya perlu menolak kedua-dua parti musuh Pas itu.
Berucap di majlis pelancaran bahagian BERSATU Pagoh malam tadi, Muhyiddin berkata pemimpin PAS telah menyatakan bahawa sudah sampai masanya parti-parti pembangkang bergabung dan bekerjasama sekiranya mereka mahu mengalahkan Umno.
“Nak kalahkan Umno, PAS, BERSATU dan PKR mesti bekerjasama untuk hadapi pilihan raya umum dan apabila Umno dapat dikalahkan, kita dapat bentuk kerajaan baru.
“Bukan mereka (parti-parti lain) tak masuk dalam tu, AMANAH ada, DAP ada….
“Tujuannya adalah untuk bersatu bersama-sama dalam perjuangan dan akhirnya akan membentuk kerajaan di mana kuasanya boleh kita kongsi bersama-sama,” kata Muhyiddin dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Beliau berkata BERSATU secara bersendirian tidak mungkin boleh menang, sama seperti Umno yang tidak mungkin boleh membentuk kerajaan sendirian.
“Ia mesti bekerjasama dengan parti-parti lain seperti MCA, MIC dan parti-parti lain,” tambahnya.
Muhyiddin berkata beliau sedang berbincang dengan parti-parti pembangkang untuk menzahirkan sebuah gerakan dan membentuk kerjasama di mana semua parti bersetuju atas dua perkara.
“Pertama, sanggup bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Keduanya menentukan dalam pilihan raya umum akan datang, kita bertanding satu lawan satu (menentang BN),” katanya.