Rang Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2017 diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat, malam ini.
Seramai 117 ahli parlimen menyokong manakala 70 lagi menentang dan 11 lagi tidak mengundi apabila undian belah bahagian diadakan.
“Keputusan belah bahagian adalah seperti berikut, yang tidak mengundi 11 orang, yang tidak bersetuju untuk Rang Undang-undang dibacakan kali kedua, 70 orang, yang bersetuju untuk Rang Undang-Undang dibacakan kali kedua, 117 orang,” kata Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Semua sebelas ahli parlimen yang berkecuali itu adalah dari PAS.
Parti itu mempunyai 14 ahli parlimen. Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengundi menentang belanjawan itu manakala presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) tidak hadir.
Ditanya mengapa mereka berkecuali, Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) berkata mereka mengambil pendirian tersebut kerana mereka bersetuju dengan perkara tertentu tetapi menentang elemen lain.
Bagaimanapun beliau berkata, mereka akan membincangkan apa tindakan yang perlu diambil apabila Bajet 2017 dibawa kepada pengundian peringkat jawatankuasa.