Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, senario politik dan ekonomi yang tidak stabil hari ini memberi peluang baik kepada pembangkang untuk menewaskan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, Perak berhujah, kos sara hidup yang di luar kemampuan rakyat dan pembuangan pekerjaan berikutan situasi ekonomi semasa akan menjadi katalis kepada perasaan tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran PM Najib sebagaimana PRU 2008 lalu rakyat marahkan PM Pak Lah.
“Yang penting sekarang ialah rakyat harus sedar bahawa walaupun wang BR1M sudah dinaikkan, kos sara hidup juga naik.
“Justeru, situasi tetap susah,” kata beliau ringkas kepada Suara pakatan daily namun yakin mood rakyat untuk berubah akan menghasilkan undi yang besar untuk Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu.
Bagi seorang penganalisis politik, Daniel Toh, yang mewakili badan bukan-kerajaan, faktor yang tidak memihak kepada BN dewasa ini bukan bermakna pembangkang akan menempuh jalah mudah untuk menawan Putrajaya.
Katanya, PH perlu berwaspada terhadap PAS yang memainkan peranan memecahkan sokongan pengundi Melayu di kawasan kampung dan bandar-bandar kecil.
“PAS mungkin berperanan sebagai ‘game-changer’ iaitu pihak yang mampu mengubah corak permainan dalam pilihan raya umum kali ini apabila mereka memecahbelahkan undi Melayu.
“Kemenangan akan berpihak kepada BN jika perkara itu berlaku. Oleh itu, mulai sekarang pihak PH serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus menerima hakikat bahawa PAS sudah berpihak kepada BN dan mula merancang strategi dengan mengambil-kira faktor tersebut,” katanya.
Daniel menegaskan, selagi masyarakat Melayu di kawasan kampung masih menyokong Umno-BN maka BN akan bertapak di Putrajaya. Namun katanya, kenaikan harga barang yang terlalu mendadak kali ini memberi harapan kepada ramai penyokong PH bahawa kaum Melayu akan mencipta sejarah dengan memilih kerajaan baharu buat kali pertama.
“Tapi kalau kali ini pun pengundi Melayu masih mengundi BN maka ini bererti mereka tidak mahukan perubahan. Tengok di negara Mexico, rakyatnya berdemo besar menentang harga kenaikan minyak.
“Di negara kita, pada awal tahun ini, harga minyak naik tinggi dan begitu juga harga tambang bas sekolah. Kenaikan harga minyak masak pada 1 November lalu pun menyusahkan warga miskin dan berpendapatan rendah dari pelbagai golongan,” ujarnya yang khuatir melihat reaksi balas suram daripada rakyat Malaysia berhubung dua kenaikan penting itu.
“Ini semua menunjukkan kalau minda Melayu tidak mahu berubah, maka semua orang miskin dari semua kaum akan hidup susah,” katanya lagi.