Parti pembangkang di Sabah perlu terlebih dulu berbincang mengenai berkongsi manifesto bersama dan menetapkan dasar sebelum memulakan rundingan pembahagian kerusi bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal berkata perbincangan itu seperti perkahwinan dan penyatuan parti pembangkang di negeri itu di bawah satu gabungan.
“Kita mesti pakat macam kahwin. Kahwin mesti tengok perempuan ‘ngam tak ngam’. Jangan sudah kahwin, gaduh pula tiap-tiap hari. Susah nanti,” katanya kepada wartawan selepas program walk about di pasar Lido, Sabah pagi tadi.
Shafie berkata Warisan menerima beberapa tawaran untuk bekerjasama dengan parti pembangkang di Sabah, tetapi beliau masih skeptikal terhadap tawaran itu.
“Tetapi, parti masih terbuka untuk perbincangan. Buat masa sekarang, kita akan bekerja seiring untuk mendekati lebih ramai orang.
“Penting bagi Warisan untuk tahu dasar parti lain, kalau tidak nanti akan timbul perbezaan pendapat,” katanya.
Shafie berkata berdasarkan pengalamannya selama 30 tahun, politik di Sabah menyaksikan banyak pemimpin lompat parti.
“Saya tidak menuduh sesiapa. Tetapi sejarah Sabah cukup pahit.
“Tidak mengapa kalau kita kalah dalam pilihan raya, tetapi kita tidak boleh menjual maruah kita,” katanya.
Bekas naib presiden Umno itu berkata Warisan juga perlu berhati-hati ketika membentuk sekutu yang berpotensi dengan parti pembangkang di negeri itu.
“Kalau mahu kongsi, mesti ada kongsi, jangan kongsi semua mahu ambil. Apa guna kongsi kalau semua mahu pegang. Lepas pegang kerusi mahu pindah pergi sana pasal ada jawatan,” katanya.
Shafie juga menekankan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah amat penting dalam PRU akan datang.
“Bukan parti yang menentukan kerajaan negeri, tetapi rakyat Sabah,” katanya. FMT