ULASAN: Kata pemikir Islam Indonesia, Cak Nur, proses ‘menyentuhtanahkan’ ajaran agama sehingga menjadi relevan dengan kehidupan nyata dalam ruang dan waktu, memerlukan tindakan sekularisasi iaitu dalam erti sosiologi.
Seperti ulama terdahulu yang membanteras amalan syirik dan perkara tahyul dalam budaya pemikiran kaum Islam waktu itu, melalui usaha pembebasan pemikiran tahyul yang dimurnikan dengan dengan ajaran intipati tauhid.
Begitu seharusnya zaman ini.
Wajib kita memerangi pemikiran tertutup yang menjadikan agama seolah-olah kaku hingga mendorong kepada perilaku yang keras. Ternyata fenomena ini memerlukan sekulararisasi dalam erti pembebasan dari pengalihan sakralisasi ajaran makhluk yang terpesong kepada makna tauhid yang diajar Tuhan. Sekularisasi yang dimaksudkan adalah intipati ajaran tauhid yang membebaskan faham sakralisasi yang tidak tepat.
Pendekatan ini menjadi tunjang kepada pemahaman ajaran Islam sebenar. Kerana ia berpunca dari diskusi pemikiran Islam yang sempit dan jumud akibat kelompok Islam yang gagal menyesuaikan intipati ajaran terhadap bentuk lebih terbuka dalam mendepani pelbagai perbezaan mazhab, agama dan budaya.
Akibatnya, muncul pemikiran primitif dalam mendepani pelbagai perbezaan. Tambahan lagi, model kajian produk fekah agama dewasa ini terlalu tertumpu kepada perkara ‘’khilafiyyah’’ dalam pandangan mazhab yang berbagai-bagai.
Kejumudan agamawan
Ternyata, perkembangan ini tidak terjadi jika umat Islam tidak disibukkan oleh agamawan yang jumud dan tidak serik berbalah dengan menimbulkan polemik isu khilafiyyah. Kelompok agamawan yang pulang dari Timur Tengah, fokusnya kerap kepada isu qunut, tahlil arwah, perkara bidaah dan label Wahabi. Ribut kekeliruan dalam pemikiran masyarakat Muslim Melayu dewasa ini tidak pernah sunyi dari dibodohkan dengan masalah sebegini.
Atas lambak pemikiran dari didikan agamawan khilaf ini, kita sudah terdidik dengan hal-hal yang remeh; bukan lagi hal dasar yang membawa kita kepada kemajuan dalam beragama. Terbaru, soal penempelan logo babi terhadap semua produk yang ada kandungan haiwan itu. Ia menunjukkan kesan nyata betapa sebahagian masyarakat atau badan pentadbiran agama begitu ‘sakit.’ Kita ternyata sekali lagi gagal berinteraksi dalam menangani perbezaan dan menguruskan keluasan fekahh.
Isu-isu seperti babi dan anjing ini menjadi sensitif oleh masyarakat yang mengamal fekah sempit. Masyarakat Melayu-Islam hari ini harus diberi pendedahan mengenai keluasan fekah dan pemahaman ajaran Islam yang kontekstual dalam menghadapi cabaran zaman dan kepelbagaian untuk mencapai sebuah peradaban.
Melihat kembali kepada isu babi atau hal-hal yang dikaitkan seperti coklat yang diselaputi DNA haiwan berkenaan, produk perubatan campuran babi semuanya harus dihukum haram dan menjadi janggal oleh sebahagian masyarakat Melayu Islam khususnya. Sebahagian masyarakat kita hari ini sudah terbiasa dengan emosi dan bersikap terburu-buru dalam melihat perkara khilaf sehingga menolak keseluruhan perbezaan pendapat perbincangan fekah ini.
Dalam hal ini, keluasan ajaran agama Islam menuntut untuk kita bersedia menerima pelbagai metodologi dan khilaf dalam banyak pandangan sarjana mahupun mazhab; bukan lagi menganggap hanya berpegang pada mazhab Syafie sahaja. Penelitian kelompok agamawan harus berkembang dalam perbincangan fekah pelbagai mazhab dan kesesuaian tindakan.
Ada beberapa sarjana moden menyatakan, berus dari bulu babi halal digunakan. Dalam fiqh ada menerapkan perbincangan ini iaitu disebut istihalah atau sesuatu yang berubah disebabkan pertukaran dari sifatnya, zatnya seperti yang asalnya najis iaitu arak menjadi cuka, lemak najis menjadi sabun selepas melalui proses pembakaran, pemeraman mahupun campuran dengan sebahagian yang majoritinya perkara yang suci.
Ini menurut Syeikh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya.
Mengikut beliau lagi, perkara yang tidak ada dalam nas seperti asalnya bermula daripada najis seperti babi tetapi setelah melalui proses kimia dan seumpamanya, bertukar menjadi suci. Maka keluasan mazhab seperti Hanbali, Maliki, Zahiri menyatakan hal ini suci setelah melalui proses tersebut.
Menurut pandangan mereka, proses istihalah itu menjadikan bahan berkenaan suci dan halal dimakan atau digunakan kerana sifat asalnya sebagai najis sudah bertukar kepada sesuatu yang baru dengan memiliki sifat dan ciri-ciri baharu. Dalam hal melibatkan kulit najis seperti babi, pandangan mazhab Syafi’e pula ialah najis itu tidak menjadi suci sekalipun melalui istihalah. Mazhab Syafie begitu tegas dalam hal ini sekaligus berbeza dengan pendekatan jumhur lain.
Ternyata, perbezaan pandangan dan ijtihad ini berlaku dalam perselisihan ulama dan sarjana terdahulu dalam mengaplikasi pendekatan tersebut. Konsep Istihalah ini terus dipakai oleh sebahagian sarjana moden seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi.
Oleh itu, perbezaan ini harus dicermati dan masyarakat harus berlapang dada dalam perbezaan dan sikap itu harus bermula dengan kelompok agama yang cerdas dalam menyelesaikan masalah itu. Sebab itu, agamawan harus bijak dan cerdas dalam mendidik masyarakat; bukan lagi berbalah dalam isu picisan dan tidak berlapang dada dalam perbezaan fekah sesama mereka.
Selanjutnya mengambil pelajaran dari ajaran sirah nabi, pembentukan masyarakat baru di Madinah dengan membentuk kebijakan piagam Madinah yang membuktikan praktis keluasan fekah serta kebijakan menyebarkan pesan-pesan wahyu dalam kepelbagaian kehidupan.
Contoh lain, bagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dalam menangani masalah kemasyarakatan terhadap penganut aliran Ahli Kitab yang pelbagai tafsiran terhadap teks keagamaan.
Dalam satu peristiwa berkaitan hukum zina, mereka tidak mengadili hukum dengan jujur dan menyembunyikan beberapa ajaran Taurat demi kepentingan mereka. Lalu ditegaskan oleh nabi mengenai hukum yang disembunyikan oleh mereka. Di sini nabi telah mencampurkan hukum dalam Taurat dengan ajaran dalam al-Quran demi memaktubkan sebuah masyarakat yang adil dan tunduk dengan ajaran Tuhan.
Justeru, fleksibiliti kebijakan nabi dalam mengurus masyarakat harus diberi perhatian besar oleh agamawan hari ini.
Hikmah dalam berinteraksi teks agama
Hukum diambil dari dasar bahasa Arab ‘’hukm’’ yang membawa kepada kebijaksanaanan (wisdom). Jadi, kelompok agamawan harus meneladani bagaimana sesebuah hukum mampu memberi makna lebih luas dan mencapai hikmah. Agamawan hari ini harus berani mengedepankan tawaran berupa wacana Islam yang lebih terbuka, fekah yang terbuka, keluasan ijtihad dalam berfikir soal isu keagamaan, selain pembacaan teks al-Quran yang lebih kontekstual mendepani rentas iman.
Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar. (4:113)
Oleh itu, dalam tradisi keilmuan, agamawan harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang menyeluruh dan kajian keagamaan yang kritis, malah pengamatan yang luas. Menyebarkan pesan universal dalam ajaran Islam ini akan membentuk keluhuran nilai hidup yang menjangkau hikmah kearifan khazanah kehidupan. Ia sekaligus merentasi sempadan budaya dan peradaban manusia.
Dalam membangun ajaran tauhid yang universal, ia harus dimulai dengan pemahaman jitu terhadap hukum ajaran wahyu iaitu menyedari nilai-nilai ajaran-Nya yang menyeluruh dengan mendasari semua lapisan agama dan iman.
Jadi, kelompok agamawan harus berfikir lebih moden dan mengambil pendekatan terbuka serta dinamis apabila bertembung dengan isu hukum-hakam dengan kesesuaian konteks zaman.
Tidak dapat tidak, sekularisasi diperlukan kepada membawa kepada pembebasan pemikiran agama yang mundur dan ajaran yang tidak bertamadun, kepada Islam yang lebih maju dalam mendepani semua cabaran dan kehendak zaman.
__________________________________________________________________________________________
SYAZREEN MOHD adalah bekas penuntut pengajian Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan dan penulis buku Bercakap Dengan Quran.