Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak masih menunggu komitmen Kerajaan Perak bagi menyerap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas rakyat.
Menurut Naib Pengerusi AMANAH Perak Dr Fakhruldin Mohd Hashim, Menteri Besar Perak Dr Zambry Kadir pernah berjanji kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menyerap cukai berkenaan. Namun sehingga ke hari ini, katanya, tiada sebarang pengumuman dari MB berhubung kajian tersebut.
“Melalui kenyataan Menteri Besar Negeri Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Haji Zambry Abd Kadir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada April 2015 bahawa kajian menyeluruh daripada PBT melalui Setiausaha Kerajaan Negeri akan diumumkan tetapi masih belum terlaksana.
“Sebelum ini, beberapa Kerajaan Negeri telah menyerap Cukai GST melalui perkhidmatan PBT seperti di Negeri Pulau Pinang, Terengganu, Johor dan juga Sarawak yang telah memberikan kemudahan penyerapan Cukai GST oleh PBT masing-masing sejak tahun 2015 lagi.
“AMANAH Perak mengharapkan kajian yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak pada ketika itu telah dan boleh dilaksanakan ketika ini iaitu menyerap Cukai GST melalui PBT di seluruh negeri Perak mengambil kira keadaan kegawatan ekonomi dalam negara kita ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.