Felda seharusnya tidak rasa takut dan bimbang dengan Konvensyen Felda anjuran Pakatan Harapan pada 19 Mac ini, sebaliknya pengurusan agensi itu wajar mengalu-alukan usaha pihak pembangkang itu jika mereka berada di landasan betul, kata Lim Kit Siang.
“Felda seharusnya mengalu-alukan Konvensyen Felda Pakatan Harapan dan tidak takut untuk menghantar pegawai-pegawai tertinggi untuk menghadiri konvensyen bagi menjamin kedudukan 100,000 peneroka Felda adalah baik selari dengan slogan ‘berani kerana benar’,” kata pemimpin kanan DAP ini hari ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau juga rasa hairan dengan kenyataan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada semalam bahawa pengurusan Felda menyuarakan bantahan dan menegaskan organisasi itu sama sekali tidak terlibat dengan penganjuran Konvensyen Felda oleh Pakatan Harapan.
“Saya rasa hairan apabila membaca berita Bernama bahawa pihak Felda tersinggung dengan Konvensyen Felda anjuran Pakatan Harapan di Shah Alam pada Ahad, 19 Mac, dengan menyatakan bantahan sambil menegaskan Felda sama sekali tidak terlibat dalam Konvensyen Felda (dimaksudkan),” kata Kit Siang ketika berucap pada satu majlis Dewan Sri Cheeding selepas melawat Kg Jenjarom dan Kg Sri Cheeding ketika Jelajah Desa ke kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Datuk, Selangor hari ini.
Teks ucapan beliau diedarkan kepada media petang ini.
Di Johor Bahru hari ini, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipetik Bernama, menyifatkan tindakan Pakatan Harapan itu hanya bermotifkan agenda politik yang ingin menghasut rakyat khususnya peneroka bagi membenci kerajaan.
Beliau berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak perlu merumitkan keadaan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah yang sedia wujud.
Hanapi dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, yang dipetik Bernama, berkata, pihaknya tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk menggunakan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut.
Kata beliau, kebelakangan ini terdapat pihak yang berusaha untuk mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat peneroka. Yang terbaru, Pakatan Harapan dijadual mengadakan Konvensyen Felda, Kelangsungan Felda Melalui Pengupayaan dan Pendidikan.
“Penggunaan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut akan mengelirukan peneroka dan masyarakat awam amnya,” kata beliau.
Beliau berkata, Felda memandang berat perkara ini kerana kemungkinan terdapat pembentangan yang tidak tepat dan dikhuatiri akan mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di rancangan-rancangan Felda.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 1956, Felda tidak pernah lari daripada objektif utamanya bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka di 317 rancangan di seluruh negara.
Kit Siang menambah, apa yang diperkatakan oleh Hanapi itu adalah kenyataan yang paling luar biasa dan juga bersifat histeria, yang mencerminkan mentaliti sempit dan tidak berfikiran jauh.
“Saya akan sangat terkejut jika kenyataan Hanapi ini telah mendapat restu Pengerusi Felda yang baru (Shahrir), di mana ahli politik veteran Umno ini telah berubah dengan ketara sejak menjadi Pengerusi Felda.”
Sehubungan itu, Kit Siang berkata, beliau berharap kepimpinan baik Shahrir akan terserlah manakala pengurusan Felda akan menerima pakai pendekatan positif dengan menghulurkan kerjasama kepada Konvensyen Felda pada 19 Mac ini, dengan memastikan mereka akan menghantar wakil untuk menyertai bersama.