Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin akan diadakan dalam waktu terdekat berdasarkan serangan Umno bertali-arus menuduh supremo DAP, Lim Kit Siang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri (PM) ke-7 sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menerajui Putrajaya.
Bagaimanapun, hal itu ditolak oleh Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. Katanya, DAP kekal menghormati hak kaum Melayu untuk dicalonkan sebagai PM memandangkan Melayu adalah kaum terbesar di Malaysia.
“DAP telah banyak kali menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri hanya akan dilantik dari kalangan orang Melayu dan Islam seperti yang telah dipersetujui oleh setiap parti komponen dalam Pakatan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang lebih mesra dikenali dengan gelaran Tengku Zul berkata, sentimen kaum yang dikitar semula oleh Umno dalam bentuk fitnah tersebut dilakukan dengan tujuan menakut-nakutkan orang Melayu yang kini kian cenderung menyatakan sokongan kepada PH.
“Sokongan itu timbul daripada rasa tidak puas hati terhadap perlaksanaan polisi-polisi kerajaan yang membebankan iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan, pengurangan peruntukan untuk sektor pendidikan dan kesihatan serta penghapusan subsidi barangan keperluan harian,” ujarnya lagi.
Tengku Zul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab berpendapat, serangan Umno terhadap DAP akan diperkuatkan lagi dalam masa yang terdekat kerana Umno tidak dapat menandingi kemampuan PH dalam hal mengurus-tadbir seperti yang dipamirkan oleh PH di Selangor dan Pulau Pinang.
“Oleh yang demikian, Umno-BN akan menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan masyarakat Melayu dan pada masa yang sama mengalih perhatian rakyat dari isu-isu semasa yang penting,” sambung beliau.