PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan isu berhubung sistem keselamatan negara.
Ini kerana pendedahan media semalam mengenai pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu di parlimen, kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.
“”Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri dalam 2-3 hari ini.Kami mendapat bukti ini melalui laman web Jabatan Pendaftaran Negara sendiri.
“Sidang Parlimen tergempar ini akan membincangkan persoalan sistem yang meragukan. Persoalannya, bagaimana seseorang itu boleh menjadi warganegara dalam masa dua jam?, soal Salahuddin.
Salahuddin menunjukkan bukti bergambar yang diperolehi dari laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan imej berwarna menunjukkan status nama seorang pemastautin tetap (PR) yang bertukar menjadi warganegara dalam satu hari.
“Kemudian nama mereka ada dalam daftar pemilih. Ini konspirasi tertinggi Umno-BN yang membolehkan seseorang dari taraf pemastautin tetap menjadi warganegara dan boleh mengundi,” kata Salahuddin.
Sementara itu Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berkata, janji Najib Razak yang mahu melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya hanya omong kosong.
“Bahkan Najib telah hilang kawalan terhadap institusi dan agensi tertentu dalam kerajaan yang cuba merampas kuasa pentadbiran. Adakah ini kerana Najib tiada kuasa dan tidak mendapat mandat dari rakyat Malaysia? soal Nurul Izzah.
Dalam pada itu, Setiausaha Pas Selangor Khairuddin Othman memaklumkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bergantung sepenuhnya kepada data yang diperolehi dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).“Senarai daftar pemilih SPR hanya dikeluarkan selepas kelulusan JPN. Persoalannya, kalau daftar pemilih yang digunakan oleh SPR adalah data lama, bagaimana nama mereka boleh ada dalam daftar yang baru?
“Untuk mengambil kad pengenalan biru di Putrajaya, penerima memerlukan cop (scan) ibu jari. Bila jadi dicop, maka sistem akan dikemaskini secara automatik. Kita mahu SPR dan JPN jawab ini,” katanya.
Kesemua kad pengenalan baru yang dianugerahkan itu mempunyai kod nombor ’71′ pada bahagian tengah atau negeri kelahiran.
“Nombor 71 ini adalah kod bagi mereka yang dilahirkan luar dari Malaysia,” kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.
Justeru, Pakatan Rakyat menuntut rakyat Malaysia untuk memberitahu sebarang maklumat berhubung penyelewengan mahu pun percubaan mendaftarkan warga asing sebagai rakyat Malaysia secara haram.
– Keadilandaily