Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran berkata, Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Mahathir wajar dipertimbangkan untuk dilantik sebagai peneraju Pakatan Harapan (PH).
Hal itu, katanya, penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat selepas PH mengalami perpecahan hebat dengan Pas dan tumpuan boleh dialihkan daripada parut krisis dalaman kepada serangan total ke atas pentadbiran PM Najib Razak.
“Saya harap rakyat Malaysia akan memberi peluang kepada PH untuk memimpin negara. Dapat dilihat sekarang orang ramai sedang bergelut dengan masalah kewangan apabila di kedai barang runcit jenama barangan yang murah sahaja yang dibeli.
“Kami di Pakatan Harapan mempunyai pakar ekonomi yang bijak dan cerdik dalam pengurusan serta pentadbiran dan akan mampu menyelesaikan masalah kewangan negara serta meringankan beban rakyat
“Langkah yang pertama PH perlu buat ialah pengembalian semula subsidi minyak. Jangan lupa dalam era Tun Mahathir sebagai PM, kos sara hidup dapat diuruskan dengan baik dan tidak melambung tinggi seperti hari ini,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Albert Kwok pula berpendapat PH tidak akan terlalu terkesan dengan tamatnya kerjasama politik antara Pas dan PKR jika menamakan calon yang benar-benar berkaliber dan diyakini rakyat sebagai PM
“PAS telah membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan PKR tetapi itu bukan perkara penting.
“Yang penting ialah PH memerlukan seorang pemimpin terkenal dan berwibawa yang mampu meraih undi masyarakat Melayu di kawasan kampung untuk dicalonkan menjadi PM.
“Tiada orang yang layak untuk tugas ini kecuali Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun terdapat ahli-ahli dalam koalisi PH tidak berapa senang berkerjasama dengan Tun namun mereka tiada pilihan dalam perkara ini kerana PH tidak mempunyai pemimpin yang mampu menarik sokongan Melayu ketika Anwar di dalam penjara.
“Tun patut dilantik sebagai Perdana Menteri jika PH menang Pilihanraya Umum Ke-14 . Nampaknya PM Najib tidak berani bubar Parlimen dan masih sedang mencari-cari tarikh yang keramat.
“Saya perhatikan bahawa Najib penuh yakin bahawa beliau boleh menang besar selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan tetapi sekarang muncul Tun Dr. M berjuang untuk pihak PH dan PM Najib kini kelihatan resah dan gelisah,” sambung Albert.