Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak menolak program yang diadakan oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak iaitu Tadarus Al-Quran di bulan Ramadhan.
Bagaimanapun Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss mempertikaikan penganjuran oleh sebuah parti politik yang mempunyai kuasa dan tidak melalui penganjuran Kerajaan Negeri Perak ditadbir yang oleh Umno / Barisan Nasional (BN).
“Bagi kami yang sering kali dititahkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk), melarang sebarang simbol politik kepartian di bawa ke dalam masjid tetapi kini sebaliknya.
“Perkara ini jelas bertentangan sepertimana yang dititahkan oleh Raja Dr Nazrin Shah di mana Pemuda Umno Perak telah mengadakannya di Masjid Jamek, Ayer Kuning, Kampar pada 6 Ogos yang lalu.
“Apa yang amat menyedihkan juga ialah dengan kehadiran Penasihat Agama kepada Menteri Besar Negeri Perak, Kapten (Bersara) Dato’ Haji Mohd Najmuddin Haji Alias bagi melancarkan majlis tersebut.
“Beliau yang juga dijemput hadir setiap kali Mesyuarat MAIAMPk tentu maklum akan perkara ini. Persoalan yang timbul sekarang, kenapa majlis seumpama ini tidak diadakan oleh kerajaan negeri? Adakah Pemuda Umno Perak telah mendapat mendapat kelulusan mengadakan majlis tersebut daripada MAIAMPk?” bidasnya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS ingin mendapat kepastian daripada MAIAMPk tentang kebenaran yang telah diberikan.