Pada bulan Ramadan, orang Islam sepatutnya menunjukkan sisi sifat yang elok, tetapi mereka nampaknya mudah tersinggung dan mencurigai orang lain, kata Datuk Zaid Ibrahim.
Dalam seruan kepada orang Islam supaya memaafkan The Star kerana muka depan akhbar itu 27 Mei lalu, bekas menteri undang-undang itu berkata: “Perkara pertama yang melintas dalam fikiran kita ialah mereka persenda-sendakan kita.”
“Mengapa tidak bersabar dan menganggap pengarang the Star tidak sensitif? Sekarang masanya orang Islam Malaysia tunjukkan sikap pemaaf. Itu yang akan dilakukan orang Islam yang baik.
“Tetapi saya tak fikir itu akan berlaku. Mungkin kerana hanya tinggal beberapa orang Islam baik di negara ini,” kata Zaid di blognya hari ini.
Beliau berkata baru-baru ini seseorang menghantar mesej whatsApp kepadanya dan menggesa seorang Melayu mengikut jejak langkah Zaid dan menyertai DAP.
Orang Melayu itu menjawab: “Zaid bukan orang Islam yang baik. Dia seseorang yang menikmati kehidupan dunia.”
“Orang itu dengan tidak sengaja memberikan pujian yang terbaik. Apa ertinya kehidupan kalau tidak dinikmati? Kurniaan dan keindahan alam semesta anugerah Tuhan kepada kita, dan kita perlu hargai, rasai dan alami anugerah itu.
“Saya tahu sesetengah orang Islam kenalan saya yang hidup dalam ketakutan. Mereka takut pada Yang Masa Kuasa dan selalu memohon ampun untuk dosa mereka.
“Mereka juga selalu marah-marah: Marah terhadap pembuat dosa, Kristian, orang Islam yang makan di khalayak ramai di bulan puasa dan orang Cina DAP yang menyertai majlis berbuka puasa. Itu pilihan mereka, tetapi bukan begitu saya mahu jalani kehidupan saya.”
Beliau berkata semua “orang Islam yang baik”, dan kementerian dalam negeri, marah kerana muda depan The Star yang memaparkan gambar orang Islam bersolat terawih dan tajuk mengenai keganasan.
“Walaupun saya tidak baca The Star, saya tak fikir pengarang melakukan sesuatu yang salah atau hasutan.”
Beliau sekali lagi menatap muka depan akhbar itu yang mencetuskan kegemparan.
“Ada gambar besar orang Islam bersolat. Tajuk di atas gambar itu merujuk kepada orang ramai yang terbunuh di Marawi di selatan Filipina dan bagaimana militan – yang diketuai bekas pensyarah dari Malaysia Dr Mahmud Ahmad – terlibat dalam pembunuhan besar-besaran itu.”
“Gambar membawa 1000 maksud. Kamu boleh tafsir tajuk itu dalam banyak cara: Kamu boleh tafsir ia mempersenda orang Islam sebagai hipokrit, iaitu bersolat jemaah walaupun ada sesetengah mereka terbabit dalam keganasan. Ataupun kamu boleh bersabar dan menafsir gambar itu menunjukkan 2 wajah orang Islam yang berbeza di dunia hari ini.
“Terdapat banyak perkara yang sedang berlaku di dunia Islam yang tidak masuk akal. Di minggu pertama Ramadan – bulan keamanan, keampunan dan kesabaran – IS membunuh ramai orang Islam di Iraq, Pakistan dan Mindanao.
“Mereka juga membunuh orang Kristian Koptik di siang hari. Adakah melihat wajah orang Islam yang berbeza itu dianggap berniat jahat dan menyalahi undang-undang?” – FMT