Pakatan Harapan (HARAPAN) akan berusaha menjejaki semula wang 1MDB yang ‘hilang’ di luar negara dan membawanya pulang untuk membiayai hutang tidak produktif jika berjaya menguasai Putrajaya nanti.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dasar percukaian negara juga akan disusun semula supaya tidak membebankan rakyat.
“Lebihan (dana yang dibawa pulang itu) akan digunakan untuk program kebajikan yang menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan jurang lebar antara golongan kaya dan miskin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin mengulas isu skandal 1MDB yang terus mendapat perhatian ramai, terutama apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) AS mengemukakan saman sivil ketiga pada bulan lalu.
Kata Saifuddin, sangat sadis apabila wang rakyat – yang didakwa sebanyak RM20 bilion – disalahgunakan untuk kepentingan peribadi oleh pihak tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysian Official 1 (MO1).
Antaranya ialah untuk membiayai pembikinan filem, kapal layar mewah dan barang kemas.
“Saya percaya dana yang diseleweng itu mampu dikembalikan kepada rakyat demi membina semula Malaysia yang dirosakkan teruk oleh BN akibat kegagalan membendung gejala rasuah, penyelewengan dan kronisme yang dimulakan sendiri oleh pimpinan atasan mereka,” katanya
Menurut Saifuddin, selain itu rakyat juga wajar tahu amalan rasuah yang didakwa berlaku bukan saja membabitkan 1MDB malah banyak kes besar lain, seperti skandal penyelewengan air di Sabah, kekayaan luar biasa pemimpin dan skandal perumahan bumiputera di Johor.
“Hakikatnya kerajaan BN, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan segelintir penjawat awam terlibat dalam gejala yang merugikan negara sendiri.
“Hanya melalui reformasi dan peralihan kerajaan barulah peluang untuk mengatasi masalah ini akan terbuka,” katanya.
Jika BN dapat dikalahkan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Saifuddin, rakyat sendiri berpeluang untuk tahu pelbagai kes yang sebelum ini terselindung daripada pengetahuan umum.
Apa yang sudah terdedah setakat ini, katanya, cumalah cebisan kecil daripada masalah yang jauh lebih besar sedang berlaku.
“PKR bertekad untuk menyiasat skandal besar negara, terutama yang melenyapkan sejumlah wang rakyat untuk tujuan kemewahan peribadi.
“Penubuhan suruhanjaya siasatan diraja akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menyiasat kes-kes skandal dengan lebih mendalam,” katanya.
PKR juga kata Saifuddin akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara bagi memastikan penjenayah tidak berlindung di mana-mana lokasi atas nama suaka politik. – Mkini