Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar pertandingan 3 penjuru seboleh-bolehnya dielakkan dalam kalangan pembangkang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Katanya, Biro Politik PKR menerima situasi Pas memutuskan hubungan dengan PKR namun tindakan menghadapi keadaan itu adalah dengan tidak memusuhi Pas. Oleh itu, menurut beliau, pintu perbincangan masih dibuka walaupun Pas kelihatan kurang berminat untuk meneruskan kerjasama dengan PKR.
“Saya telah meneliti kenyataan Rafizi Ramli, Naib Presiden dan ahli-ahli yang melahirkan keresahan kerana corak cadangan kerjasama PKR dengan Pas yang dianggap samar dan berlarutan tanpa dimuktamadkan. Keadaan sedemikian dianggap mengelirukan dan dikhuatiri akan menjejaskan muafakat Pakatan Harapan (PH). Pimpinan PH juga telah menjelaskan pendirian menolak kerjasama dengan Pas.
“Pimpinan PKR bergerak atas prinsip musyawarah dan harus menangani kegelisahan yang disuarakan dan sentimen umat dengan penuh hikmah. Namun saya perlu menjelaskan bahawa komitmen PKR teguh dan kukuh bersama PH sepertimana yang dizahirkan sdri Azizah sejak awal lagi. Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi Pas, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru.
“Garis yang ditetapkan dengan jelas adalah kerjasama tersebut, seandainya berlaku, tetap dalam kerangka komitmen PKR dengan PH. Sdr Azmin yang diminta menerajui inisiatif ini sedar bahawa yang disarankan adalah strategi nasional dan tidak terbatas kepada Selangor sahaja. Wajar ditegaskan semula bahawa ikhtiar PKR adalah bagi menjernihkan suasana dan merangkul kekuatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar menyifatkan pertemuan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden Pas Hj Hadi Awang tempoh hari tidak lebih daripada menziarahi sahabat lama dan bersilaturrahim sambil menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas pemulihan kesihatan beliau.
Malangnya, menurut Anwar, terdapat kecaman dan serangan kasar dari beberapa pimpinan Pas terhadap PKR. Justeru, beliau menasihati pemimpin pembangkang agar mengenepikan sikap seperti itu dan menumpukan serangan terhadap pemerintahan BN.
“Menyingkap pengalaman saya berbincang dengan pimpinan Pas dan DAP secara berasingan sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, perlu diperjelas bahawa ia didasarkan kepada beberapa prinsip yang dipersetujui bersama. Kerumitan dirungkai, walaupun pada peringkat awal dilakukan secara berasingan.
“Saya akui keadaan sekarang lebih rumit dan mencabar, kerana PAS telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai PH. Akan tetapi, hampir dua tahun lalu saya menyarankan PKR tidak semestinya memutuskan hubungan dengan Pas selagi ada kesediaan di pihak Pas untuk meneruskan perbincangan. Secara konsisten saya telah suarakan pendirian tersebut kepada pimpinan PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH. Pimpinan berhak membuat penilaian dari masa ke semasa,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar juga menyuarakan risiko kerjasama dengan pimpinan Pas yang didakwa sesetengah pihak telah merancang untuk menjalin hubungan dengan Umno menjelang PRU 14.
“Saya tidak dapat meremehkan kerisauan yang disuarakan oleh rakan-rakan. Pertama, kerana timbul persepsi kemungkinan kerjasama Pas dan Umno, tetapi ura-ura tersebut telah dibantah oleh Timbalan Presiden Pas, Ustaz Tuan Ibrahim.
“Kedua, tempoh yang lama dan berlarutan dianggap akan menjejaskan ikhtiar parti dalam mengemaskini jentera pilihan raya; malah berisiko tinggi seandainya terdapat kejutan!
“Ini dapat dihindari seandainya seluruh pimpinan dan jentera PKR bergerak pantas sebagai satu pasukan padu, menyemarakkan gema Reformasi dan agenda perjuangan rakyat, kebebasan dan keperitan hidup mereka. Kita tidak pernah berganjak dari tekad menentang kezaliman, perkauman dan rasuah.
“Secara peribadi, memahami semangat demokrasi PKR, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas. Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku. Malah dengan kemungkinan PRU 14 diadakan dalam tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera.
“Dengan penjelasan ini, saya mohon pertimbangan dan kerjasama rakan-rakan untuk memberikan sedikit ruang kepada Presiden dan pimpinan untuk memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya selaras dengan pendirian PKR dan muafakat PH. Semua tindakan seterusnya harus diadakan menurut saluran parti,” akhiri Anwar dalam kenyataan tersebut.