Pakatan Harapan (PH) bertekad menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030.
Dalam ikrar yang dibacakan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi malam tadi, PH berikrar menghapuskan najis rasuah demi masa depan negara.
“Untuk setiap satu ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah satu ringgit peruntukan pembangunan sekolah. Untuk setiap sepuluh ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah sepuluh ringgit subsidi perubatan hospital kerajaan. Berbilion ringgit telah hilang akibat ‘najis rasuah’ yang diamal pimpinan utama Umno-BN,” kata Dr Mahathir.
Pemimpin Pakatan Harapan mengangkat plakad Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi.
Beliau berkata, skandal-skandal mega yang dibongkar sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri membuka mata rakyat bahawa rasuah itu najis yang mengotori dan menghancurkan badan-badan seperti 1MDB, Mara, Felda, Tabung Haji, KWSP dan YAPEIM dan menyebabkan negara bankrap.
“Wang lebih RM 20 bilion yang dicuri dalam skandal mega 1MDB sebenarnya boleh membina 460,000 rumah kos rendah, menyediakan pendidikan percuma, atau membina 50 buah hospital baru.
“SPRM sekarang melapor terus kepada Perdana Menteri. Mereka hanya berani menangkap dan mendakwa “ikan bilis” – pegawai-pegawai rendah kerajaan atau pimpinan pertengahan kerajaan. “Ikan-ikan jerung” seperti MO1 yang merasuah masih bebas.
“Apabila pemimpin atasan mencuri wang rakyat menerusi amalan rasuah dan salah guna kuasa, kitalah yang terpaksa bayar hutang negara dengan cukai GST, kenaikan harga minyak dan potongan subsidi beras, gula dan minyak masak,” katanya di hadapan kira-kira 25,000 yang hadir di Padang Timur, Petaling Jaya.
Peserta himpunan yang membanjiri Padang Timur, Petaling Jaya malam tadi.
Justeru katanya, PH berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan dengan melaksanakan agenda anti-rasuah selepas menang dalam PRU14.
Lima tindakan dalam 100 hari pertama Kerajaan Pakatan Harapan:
1. Menangkap MO1 dan ‘ikan-ikan jerung’ lain;
2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA;
3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah;
4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan
5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.