Solidariti memperingati 1,000 hari pemenjaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menghimpunkan lebih kurang 200 penyokong dan ahli parlimen pembangkang yang berkumpul di pintu masuk Parlimen sebelum berarak ke Dataran Merdeka, malam ini.
Penyokong mula hadir pada jam 8.00 malam dan perarakan dari Parlimen menuju ke Dataran Merdeka bermula pada 8.30 malam.
Acara di Dataran Merdeka dimeriahkan dengan nyalaan 1000 batang lilin yang membawa maksud: ‘Anwar Ibrahim 1000 hari dipenjara’. Selain itu, para pemimpin Pakatan Harapan dan NGO memberi ucapan ringkas kepada penyokong.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang baru dibebaskan pada 27 Oktober lalu diberikan penghormatan mengetuai solidariti 1000 Hari Pemenjaraan Anwar kerana sanggup memilih untuk dipenjarakan selama 30 hari atas kesalahan menceroboh Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol).
Dalam ucapan aluannya Tian berterima kasih dengan kerjasama pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberikan ruang untuk penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan mengadakan solidariti untuk Anwar.
“Terima kasih kepada pihak polis, DBKL dan saya tidak lupa kepada pegawai penjara kerana menunjukkan keprihatinan dan menjaga kebajikan seorang banduan seperti saya dan Anwar.
“Saya hanya dipenjara 30 hari apalah ertinya berbanding Datuk Seri Anwar pada hari ini sudah 1000 hari beliau dipenjarakan. Ini pengorbanan besar beliau untuk memastikan negara ini bebas daripada pemerintahan Najib Razak,” ujarnya.
Tian Chua turut membacakan satu kenyataan bersama yang dibuat dikalangan ahli parlimen negara-negara Asean yang menyeru agar kerajaan Malaysia membebaskan Anwar pada hari ke 1000 pemenjaraannya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad berkata Anwar dilihat sebagai seorang yang beristiqamah dan tidak lari daripada prinsip perjuangannya walaupun terpaksa dipenjarakan.
Antara yang hadir dan memberikan pidato ringkas pada malam ini adalah Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Otai Reformasi Shaari Sungib, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.
Turut hadir antaranya Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Pengerusi Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa pemimpin NGO lain yang turut sama berkumpul dengan penyokong dan ahli parlimen di pintu masuk bangunan Parlimen.
Acara yang berlangsung sejam di Dataran Merdeka itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Dr Badrul Amin memohon kesihatan Anwar bertambah baik dan memohon kesejahteraan rakyat negara ini. – MD