DAP Pulau Pinang dan Ketua Menteri Lim Guan Eng diserang habis-habisan oleh parti Gerakan dan MCA sejak kebelakangan ini. Khususnya Ketua Menteri dituduh gagal sepenuhnya menangani bencana banjir pada awal November lalu.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran, prestasi DAP Pulau Pinang tidaklah jatuh merosot sebagaimana yang digambarkan pemimin BN atau pun media arus perdana.
Katanya, sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) masih seperti sebelum banjir. Malah DAP berjaya mengumpul derma sejumlah RM7 juta untuk mangsa banjir dan akan menaikkan kadar bantuan RM500 kepada RM700 untuk 100,000 mangsa yang terjejas.
“Ramai orang mahu membantu Pulau Pinang. Kalau BN berpendapat sokongan untuk PH semakin merosot, maka pemimpin-pemimpin BN sudah diberi maklumat yang salah,” katanya kepada Suara pakatan daily
Malah, kata beliau lagi, percubaan BN mempergunakan isu banjir memperlekehkan PH kepada rakyat Malaysia, kononnya tidak berupaya menangani bencana alam juga gagal.
“Kalau anda turun padang, sokongan untuk Pakatan semakin bertambah bukan sahaja di Cameron Highlands tetapi di seluruh negeri Pahang dan seluruh kawasan Semenanjung. Maklumat ini saya dapat dari rakan-rakan PH, golongan usahawan dan rakyat biasa,” kata Manogaran.
Menurut Manogaran, sekiranya BN benar-benar mendapat sokongan padu dan rakyat lari meninggalkan PH selepas tragedi itu maka BN tidak mempunyai sebarang maslah untuk membubarkan parlimen ketika ini.
Namun, katanya, tiada tanda-tanda BN akan memanggil pilihan raya umum (PRU) pada 2017.
“Pemimpin BN ‘cakap besar mereka boleh menang PRU14 tetapi sebenarnya dalam hati mereka takut akan kalah’, sinis Manogaran dan menggesa PM Najib Razak membubarkan Parlimen sebelum hujung tahun, ketika Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang bergelut menghadapi pasca banjir sekiranya mereka benar-benar kuat.
Sebelum ini, dalam Perhimpunan Agung Gerakan (11 hingga 12 November 2017), pemimpin-pemimpin parti itu telah menghentam DAP berhubung tragedi di Pulau Pinang.
Presiden Gerakan, Mah Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menegaskan DAP gagal mengurus-tadbir negeri itu dengan baik sehingga berlaku banjir teruk.
Beliau juga menyindir ketiga-tiga pemimpin utama PH jika dicampur jumlah umur mereka ialah 227 tahun. Oleh itu, PH terlalu tua serta tidak akan mampu memberi harapan baru kepada rakyat.
Lain-lain pemimpin Gerakan pula mengugut masyarakat Cina dan memberi amaran mereka akan hidup menderita jika tidak mengundi Gerakan atau MCA.