Kecaman kerajaan terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sekadar publisiti murahan, kata bekas diplomat.
“Kerajaan nampaknya lebih berminat meraih kelebihan politik dan publisiti murahan dalam negara daripada bekerjasama dengan negara lain untuk melindungi hak warga Palestin,” kata Dennis Ignatius, bekas duta Malaysia ke Chile dan Argentina.
Ignatius berkata demikian selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru orang Islam seluruh dunia membantah sekeras-kerasnya keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Najib membuat seruan itu dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno 2017 di ibu negara.
“Kita harus ambil maklum semua hampir semua negara di dunia membantah keputusan AS,” kata Ignatius kepada FMT.
Merujuk kepada seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar membantah tindakan Trump, Dennis berkata tidak banyak yang dilakukan OIC kali ini.
“Sudah terlalu lama Malaysia dan negara OIC lain hanya bercakap sahaja mengenai isu Palestin, mengambil kesempatan daripada isu itu untuk tujuan domestik tetapi tidak banyak dilakukan untuk benar-benar mengalakkan proses perdamaian,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Arab Saudi harus dipersalahkan atas kegagalan diplomatik yang sedang berlaku.
“Mereka menjalankan dasar yang menyebabkan Timur Tengah dan OIC berpecah dan teralih perhatian. Mereka membiarkan cita-cita masing-masing dan permusuhan dengan Iran menyahstabilkan rantau itu,” tambahnya.
Ignatius menggesa OIC berhubung dengan Trump dan pimpinan dunia lain untuk memberikan rakyat Palestin negara sendiri sebagai sebahagian daripada rancangan perdamaian komprehensif.
Sementara itu, Redzuan Kushairi, bekas duta Malaysia ke Uzbekistan, berkata Trump “melanggar sempadan” tentang Baitulmaqdis apabila mengabaikan perasaan jutaan orang Islam seluruh dunia.
“Trump melawan undang-undang antarabangsa dan secara haram mengubah keadaan di lapangan, memberanikan kepada Netanyahu (Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu) yang anti-perdamaian dan melemahkan usaha damai masyarakat antarabangsa,” kata Redzuan.
Beliau berkata orang Islam tidak mungkin terima Baitulmaqdis ibu negara Israel.
“Bagi orang Islam, Baitulmaqdis dan Masjd Al Aqsa destinasi Nabi Muhammad semasa Israk dan Mikraj. Kawasan itu suci bagi orang Islam seluruh dunia,” katanya.
Bagaimanapun, Zaharom Nain dari Universiti Nottingham berkata isu Baitulmaqdis dan warga Palestin bukan sahaja isu orang Islam, tetapi isu kemanusiaan.
“Hakikatnya warga Palestin di rantau itu melalui krisis demi krisis. Lebih 750,000 orang Palestin, menurut pelbagai keterangan sejarah, diusir angkatan Israel pada 1948, hilang tempat tinggal dan harta mereka,” katanya mengenai masyarakat yang terdiri daripada orang Islam dan Kristian.
Seperti Ignatius, Zaharom menggesa orang Malaysia mengambil langkah menekan Arab Saudi dalam isu ini walaupun beliau sendiri tidak yakin ia akan berlaku.
“Malaysia harus mengambil langkah seterusnya dan mengkritik peranan rejim Saudi dalam semua ini.
“Sudah tentu akan ada keriuhan dalam seminggu dua ini, tunjuk perasaan akan diadakan di luar kedutaan AS tetapi akan kembali seperti biasa selepas itu dan Najib akan terus membantu ‘mengukuhkan ekonomi AS’,” katanya. – FMT