Pakatan Harapan tidak ada pilihan, mesti menamakan calon perdana menterinya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana rakyat mahu tahu siapa yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan pembangkang menang, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight menjelang perhimpunan agung pertama parti itu esok, Muhyiddin berkata penentuan calon perdana menteri itu satu isu mustahak yang tidak boleh diambil ringan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Tidak ada pelan B, (yang ada) pelan A satu saja iaitu mesti umum (calon perdana menteri) dan mesti diumumkan sebelum pilihan raya,” katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.
Jelas Muhyiddin, calon perdana menteri PH mesti diumumkan kerana gabungan pembangkang itu sudah berjanji kepada rakyat mahu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang.
Katanya, rakyat mahu tahu calon perdana menteri itu kerana hendak menilai kemampuan pemimpinnya menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh negara.
“Yang ditanyakan oleh orang ramai, kalau ya kamu mahu jadi kerajaan, siapakah perdana menteri kamu?” katanya.
“Suara rakyat ini tidak boleh kita pendamkan atau kita abaikan. Bagi saya yang penting bukan parti kita, yang penting apa rakyat mahu,” tambah bekas timbalan perdana menteri itu.
PH dilihat berdepan kesulitan untuk mengesahkan calon perdana menterinya selepas ia dicadangkan dalam pemukiman gabungan pembangkang itu di Putrajaya pada awal bulan ini.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad dicadangkan sebagai perdana menteri sementara, dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.
Kecuali PKR, cadangan itu dipersetujui oleh parti komponen PH yang lain – Bersatu, DAP dan Amanah.
Semalam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan partinya membantah cadangan memajukan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sebaliknya mengatakan fokus PH sekarang ialah untuk menang pilihan raya.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, Nurul Izzah berkata perkara itu masih lagi dibincangkan secara tertutup di peringkat dalaman partinya dan parti belum mengesahkan apa-apa cadangan yang dikemukakan sebelum ini.
Sumber malam tadi bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, PKR sudah setuju Dr Mahathir jadi perdana menteri sementara jika PH menang pilihan raya, tetapi dengan tiga syarat.
Tiga syarat itu ialah sebaik saja jadi kerajaan di Putrajaya, Dr Mahathir hendaklah mengusahakan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dari penjara dan membuka jalan untuk beliau dilantik perdana menteri dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.
Syarat kedua, PKR bertanding kerusi Parlimen paling banyak iaitu sekurang-kurangnya 60 kerusi, dan syarat ketiga, Dr Mahathir setuju melaksanakan reformasi ke atas institusi-institusi negara.
Muhyiddin, dalam wawancara semalam, berkata bagaimana sukar sekali pun untuk menentukan calon perdana menteri itu, ia mesti diputuskan dan diumumkan sebelum pilihan raya.
“Saya takut kalau sampai pilihan raya orang akan kata, tengoklah pakatan pembangkang, dia kata ‘Pakatan Harapan’ tapi macam mana kami nak harapkan pada dia kalau dia sendiri tak boleh tentukan pemimpin yang akan menerajui kerajaan,” katanya.
Muhyiddin berkali-kali menafikan cadangan menamakan Dr Mahathir itu agenda Bersatu yang mahukan calon dari parti itu sendiri, sebaliknya menegaskan ia sesuatu yang rakyat mahu.
“Yang hendak memberikan kuasa itu rakyat, kita hanya menawarkan saja. Rakyat hendak lihat kewibawaan, keupayaan dan kepemimpinan,” katanya.
Ditanya tentang tanggapan bahawa PKR “halangan besar” untuk mencapai persetujuan siapa calon perdana menteri PH, Muhyiddin berkata setiap parti dalam gabungan pembangkang itu ada pertimbangan masing-masing dan ada kaedah membuat keputusan yang harus dihormati oleh parti-parti lain,
“Tak mengapalah. Memberikan sedikit ruang dan masa (kepada PKR), bagi saya, berpatutan tetapi seharusnya jangan dilambat-lambatkan.”
Katanya, beliau yakin tanda tanya siapa calon perdana menteri PH akan terjawab sebelum PRU14.
“Saya yakin ia boleh diselesaikan kerana mereka pun tahu masa ini bukan main-main dan kami pun tidak hendak mempermain-mainkan rakyat. Ini soal serius terutamanya soal siapa yang akan memimpin,” katanya. – TMI