Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa tahap penolakan rakyat kepada BN pada ketika ini begitu tinggi sehingga parti itu boleh dikalahkan jika pilihan raya umum (PRU) diadakan sekarang.
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BERSATU yakin rakyat yang mahu mengetepikan BN dalam PRU akan datang begitu besar majoritinya dan tidak dapat ditahan lagi.
Menjangkakan akan ada “taktik kotor” digunakan BN dalam PRU ke-14 nanti, Muhyiddin tetap yakin parti itu tidak dapat diselamatkan walaupun melalui persempadanan semua kawasan pilihan raya.
“Kita yakin jika majoriti besar rakyat menolak BN, persempadanan semula ini pun tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya di depan 941 perwakilan BERSATU di Shah Alam hari ini.
BERSATU mengadakan perhimpunan agung tahunan pertamanya di IDCC Shah Alam.
Mandat kerajaan melalui PRU ke-13 akan berakhir pada Jun tahun depan dan PRU ke-14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh tersebut.
Bagaimanapun biasanya parlimen akan dibubarkan sebelum tarikh itu. Banyak pihak menjangkakan PRU ke-14 akan diadakan dalam tempoh kurang dari 100 hari dari sekarang.
Tidak seperti amalan negara lain, parti pemerintah tidak mendedahkan tarikh pembubaran parlimen dan PRU lebih awal, sebaliknya merahsiakannya sehinggalah ke saat-saat akhir.
Muhyiddin bagaimanapun mengakui untuk mengalahkan BN bukanlah perkara yang mudah.
Kata bekas timbalan perdana menteri itu BN akan melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa mereka, termasuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dianggapnya sebagai “amat berat sebelah”.
“Mereka takut jika kalah, maka segala penyelewengan mereka akan terbongkar dan ramai akan dibawa ke muka pengadilan.
“Mereka mahukan kemenangan bukan untuk menyelamatkan negara tetapi untuk menyelamatkan diri sendiri.
“Kita dapat bayangkan pelbagai taktik kotor akan digunakan dalam pilihanraya umum nanti,” katanya.
Justeru menurut Muhyiddin BERSATU mendesak kerajaan membenarkan pemerhati bebas dari luar untuk memantau perjalanan PRU akan datang.
Katanya pemerhati itu boleh dipilih daripada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Sekretariat Komanwel.
Selain itu Muhyiddin juga menggesa supaya rakyat menolak politik kotor yang dimainkan oleh BN.
“Isu perkauman adalah modal terakhir mereka untuk menakut-nakutkan pengundi untuk tidak mengundi HARAPAN.
“Kepada orang Melayu, Umno berkata jangan undi HARAPAN kerana HARAPAN dikuasai DAP.
“Kepada orang Cina, MCA berkata jangan undi HARAPAN kerana HARAPAN dipimpin BERSATU,” katanya yang menambah ia adalah politik murahan dan tidak lagi berkesan. – Mkini