Parti Amanah Negeri Pahang (AMANAH) mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan mengimbangi kerusi di negeri itu dalam parti gabungan dengan memberi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kepada calon AMANAH.
Naib Pengerusinya Zulkifli Mohamad berkata, adalah wajar AMANAH diberikan lebih kerusi Dun susulan parti itu hanya memperoleh 1 kerusi Parlimen Temerloh.
Dengan memberikan 14 kerusi Dun kepada AMANAH ia dilihat saksama kepada sebuah parti yang memperoleh jumlah kerusi Parlimen paling sedikit iaitu hanya 27 kerusi Parlimen seluruh negeri.
“Setakat hari ini, apa yang kita pasti, diperingkat rundingan Pakatan Harapan (PH) kita minta 11 kerusi Dun sebagai ganti.
“Untuk 11 kerusi Dun ini sudah dimuktamadkan cuma kita akan minta tambah 3 kerusi Dun sebagai ganti kepada 2 parlimen yang hilang, kerana kerusi Parlimen yang kita tidak perolehi kita tidak memiliki sebarang kerusi Dun di situ.
“Adalah wajar rakan parti dalam PH beri laluan kepada AMANAH untuk 3 kerusi Dun itu yang juga dituntut oleh PKR (2) dan PPBM (1).
“Jika perundingan ini berjaya insyaAllah kita akan dapat 14 kerusi Dun,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Setakat hari ini Negeri Pahang mempunyai 14 Parlimen itu pembahagian kerusi diwakili Bersatu 6 kerusi; PKR (4);DAP (3) dan AMANAH (1) manakala sebanyak 42 kerusi Dun yang masih lagi diperingkat rundingan Pakatan Harapan Negeri dan Pusat.
Zulkifli yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata, parti itu berkemampuan untuk membariskan calon yang berkredibiliti dan kebolehupayaan menang untuk menyasarkan 14 kerusi Dun di negeri itu.
“Untuk calon tiada masalah. Boleh dikatakan kerusi yang dmuktamadkan (11) sudah tersedia calon yang memenuhi kretiria.
“Alhamdulillah kumpulan yang ‘educated’ dan sebahagian besar adalah bekas pegawai kerajaan, kita tiada masalah pembahagian kerusi, cuma yang masih ada 3 lagi pertindihan kerusi Dun dituntut PKR dan PPBM, itu sahaja.
“Jika ada yang kata kami tidak mempunyai calon dan struktur di Pahang, sedangan AMANAH Pahang sudah ada 14 kawasan 10 kawasan sudah lulus dan 4 sedang menunggu kelulusan.
“Dari segi organisasi tiada masalah.Cuma kami kena akur hanya dapat 1 Parlimen mungkin PH pusat melihat dari sudut makro di peringkat nasional. Mungkin faktor keboleh menangan itu lebih memihak kepada parti-parti lain. Amanah Pahang menerima keputusan itu,” ujarnya. – MD