Pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan serangan bodoh sombong PM Najib Razak terhadap masalah gangguan bekalan air di Selangor. Menurut mereka gangguan bekalan 6 hari dan disebabkan oleh operator pengeluar air SPLASH tidak sepatutnya dijadikan bahan politik.
Mengulas isu itu, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad menempelak Najib dan mengingatkan di negeri PM itu terdapat kawasan yang memang tidak mendapat bekalan air, terutama di pedalaman. Bukannya gangguan bekalan sementara sebagaimana dialami Selangor.
“Ada tempat-tempat di negeri Pahang, di negeri PM Najib sendiri yang langsung tiada bekalan air. Padahal keadaan di setengah-setengah tempat di Selangor minggu lalu hanyalah untuk 5 atau 6 hari sahaja. Itu pun ada lori-lori tangki yang membekalkan air.
“Sebenarnya pemimpin BN kini ketakutan sebab Pakatan Harapan (PH) telah berjanji akan menghapuskan GST. Polisi pemansuhan GST pasti akan mendapat sambutan baik sebab inilah yang rakyat inginkan.
“Pemimpin BN dan penganalisis ekonomi yang menyokong BN asyik berkata PH tidak mampu mentadbir tanpa GST tetapi saya berani kata: BN sahaja yang akan gagal walaupun dengan perlaksanaan GST disebabkan oleh urustadbir yang dilanda pelbagai masalah kepincangan dan pembaziran.
“Justeru itu, tuduhan pemimpin BN bahawa PH akan gagal tanpa kutipan GST adalah tuduhan yang tidak berasas dan ia lahir dari ketakutan mereka,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manakala bagi seorang lagi pimpinan kanan Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, kedudukan PH yang semakin kuat menggentarkan BN dan menyebabkan mereka menyerang tanpa mempedulikan fakta.
Kegelabahan itu, katanya, adalah petanda PH akan menang PRU 14 yang akan diadakan pada Mei ini.
“Insya Allah, PH akan menang PRU14 yang nampaknya hanya akan diadakan pada bulan Mei sebab PM Najib tidak yakin menang.
“Ramai orang sedang menunggu tarikh PRU14 diumumkan tetapi yang penting ialah rakyat harus bersabar dan jangan letih menunggu. Masa akan tiba juga.
“Insya Allah, kita di Malaysia akan mengecapi perubahan dengan Kerajaan Pusat yang baru pada bulan Mei yang akan datang ini,” ujar beliau yakin.