Wanita Pakatan Harapan (PH) mendakwa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 merupakan senapang yang baru dibeli oleh Barisan Nasional (BN) khusus untuk membunuh pejuang yang mendukung prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Ketuanya Zuraida Kamaruddin berkata, Tafsiran Seksyen 2 akta tersebut jelas menunjukan bahawa akta ini dibuat khas untuk mendakwa pihak pembangkang di dalam mahkamah.
“Tafsiran seperti berikut “Berita tidak benar termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu,sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman video atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
“Tafsiran ini sangat luas terbuka untuk pendakwa raya mendakwa khususnya pembangkang.” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Jelas beliau, antara perkara lain yang menguatkan hujah bahawa akta ini adalah akta khas untuk mempenjarakan pembangkang adalah denda yang akan dikenakan.
Skala denda wang tunai tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun. Sekiranya berita itu berterusan viral selepas hukuman, maka hukuman seterusnya adalah denda RM3,000.00 untuk setiap hari berita itu viral selepas hukuman pertama dikenakan, katanya.
“Sudah terang lagi bersuluh bahawa akta ini akan menjadi punca utama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri hilang kelayakan bertanding kerana denda yang sangat tinggi diperuntukan untuk pertimbangan mahkamah.
“Akta ini secara automatik akan membenamkan pendapat rakyat, dan kebebasan bersuara. Untuk ahli politik pula, sukar bagi kami untuk mendedahkan skandal besar kerajaan kerana informasi yang benar boleh diklasifikasikan sebagai palsu atau tidak benar oleh mahkamah.
“Tidak semestinya semua perkara yang diucapkan oleh pihak kerajaan adalah benar, tugas utama pembangkang adalah untuk memperhati aktiviti kerajaan dengan rapi,” sambung Ahli Parlimen Ampang itu.
Menurut Zuraida, pembangkang juga harus menegur kerajaan sekiranya langkah-langkah yang di ambil kerajaan tidak betul-betul memanfaatkan rakyat dan negara.
“Akta ini juga akan dijadikan jalan pintas untuk menutup kes berprofil tinggi, pihak berkuasa hanya perlu mengklasifikasikan bukti itu sebagai tidak benar dan kes tidak berasas,” kata beliau. – MD