Menjelang pembentangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat pada 28 Mac yang akan membawa kepada pembubaran Parlimen, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Ir Khalid Samad yakin majoriti pengundi Melayu akan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Katanya, pengundi Melayu yang kini amat terkesan menghadapi kenaikan harga akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negeri-negeri Pantai Barat akan ‘memberontak’ menumbangkan BN
“Pengundi dari masyarakat Melayu kali ini akan menyokong PH kerana mereka sudah merasa bahang kos sara hidup yang melampau.
“Cuma di negeri-negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu saya rasa susah sedikit membuat ramalan. Walau bagaimanapun, kami akan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di negeri-negeri tersebut,” ujar Khalid kepada Suara pakatan daily.
Ahli parlimen Shah Alam itu berpendapat BN akan menghadapi banyak tekanan untuk menang PRU 14 berikutan isu GST yang sukar dijelaskan serta mudah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.
“Pemimpin BN cuma boleh kata GST bukanlah faktor yang menyebabkan harga barang naik tetapi mereka gagal memberitahu mengapa dan kenapa harga barang naik.
“Kegagalan Kerajaan BN memberi penerangan yang memuaskan merugikan mereka, sementara kita di Pakatan akan memansuhkan GST.
“Manifesto BN tentunya tidak dapat melawan perkara itu. Sekarang kita mempropagandakan jika kita mendapat mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan, GST akan dihapuskan dan semua subsidi dikembalikan. Pengundi yang bijak pasti mahukan manfaat itu,” sambung Khalid.
Beliau berkata, apa pun tawaran BN, ia tidak mungkin mampu mengatasi ketakutan rakyat kemungkinan kadar GST dan harga minyak akan naik melambung selepas BN menang PRU 14.
“Kita akan digerakkan kempen ke ‘Gear 5’ tidak lama lagi dan saya harap rakyat akan bersedia membuat perubahan dengan mengundi PH sebagai kerajaan baru dalam PRU14. Insya Allah, bulan Mei ini kita akan berjaya,” tegas Khalid