Lebih 300,000 pengundi yang bekerja di Singapura bakal terjejas untuk membuang undi pada 9 Mei 2018 jatuh pada hari Rabu yang merupakan hari bekerja mereka.
Menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Suhaizan Kaiat, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pembuangan undi tersebut dilihat menyusahkan pengundi yang bekerja di Singapura.
“SPR masih mempunyai tarikh untuk mengadakan pilihan raya sebelum Ramadhan yakni pada 6 Mei atau 13 Mei yang jatuh pada hari Ahad sebagai penetapan tarikh yang jatuh pada hari cuti.
“Tindakkan SPR seperti menyembunyikan sesuatu agenda bagi menyukarkan pengundi membuang undi terutamanya mereka yang bekerja di luar negara terutamanya Singapura,” ujar Suhaizan dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, Johor adalah negeri yang terjejas teruk dengan tarikh pilihan raya.
Memanglah Malaysia memberi cuti umum kepada pekerja sektor awam serta meminta syarikat swasta memberikan pelepasan kepada pekerja untuk mengundi namun perkara itu tidak berlaku di Singapura, kata beliau.
“Pakatan Harapan (PH) perlu berbincang dengan kerajaan Singapura untuk memberi kelonggaran kepada pekerja di Singapura membuang undi,” katanya. – MD