Teluk Intan bakal menjadi satu daripada kerusi panas yang perlu diperhatikan pada pilihan raya umum akan datang ini apabila penyandangnya Mah Siew Keong dicabar Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.
Pencalonan Nga diumumkan sebagai wakil Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam ceramah gabungan itu di bandar terletak di selatan Perak itu, malam ini.
Ia diumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Untuk masuk Putrajaya, kita kena menang kerusi termasuk di kawasan yang ahli parlimennya adalah menteri, MP Teluk Intan ialah menteri di jabatan perdana menteri.
“Jadi kalau kita nak kalahkan dia, kita mesti hantar pemimpin besar yang berwibawa, kita mesti hantar seorang calon yang bila kita menang di Putrajaya parti DAP akan lantik dia juga sebagai menteri,” kata Lim mengumumkan dalam majlis ceramah yang dihadiri ribuan orang.
Manakala itu, Nga memberitahu hadirin bertanding di Teluk Intan akan menjadi cabaran buat beliau yang merupakan cucu seorang penoreh getah dan anak seorang guru sekolah rendah.
Sebaliknya, beliau mendakwa Mah (gambar, atas) selain berpangkat “Datuk” juga merupakan “orang paling kaya di Teluk Intan.”
Namun, menurut Nga kuasa ada di tangan rakyat dan 9 Mei ini adalah masa untuk rakyat menunjukkan kuasa mereka.
Untuk rekod Mah ialah presiden Gerakan. Pengumuman itu bermakna Nga meninggalkan kerusi selamat yang dimenanginya lima tahun lalu.
Pada PRU ke-13 Nga (gambar) memenangi kerusi Taiping dengan mengalahkan calon BN yang diwakili tokoh wanita Gerakan, Tan Lian Hoe dengan majoriti 11,745 undi.
Lima tahun sebelumnya Nga merampas kerusi parlimen Taiping daripada BN dengan memperoleh 11,298 undi.
Ketika itu beliau mengalahkan Tan Sri M Kayveas.
Kerusi Teluk Intan tidak boleh dianggap kubu kuat sama ada untuk DAP atau BN kerana ia pernah bertukar tangan beberapa kali sehinggalah dimenangi Mah pada 1999.
DAP hanya berjaya menawan kerusi parlimen Teluk Intan daripada Mah sembilan tahun kemudian, iaitu pada PRU ke-12.
Pada 2014 Teluk Intan menyaksikan berlaku pilihan raya kecil apabila penyandangnya Seah Leong Peng (DAP) meninggal dunia.
Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya kelebihan 238 undi.
Mah belum dinamakan secara rasmi sebagai calon BN untuk kerusi Teluk Intan namun orang ramai percaya beliau akan dikekalkan di situ.
Sebelum parlimen dibubarkan Mah ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. – Mkini