Selepas ditendang dari Pasir Mas dan disekat masuk ke Pengkalan Chepa, AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dikatakan akan bertanding di parlimen Bachok pula, kata penulis terkenal Mohamad Sayuti Omar.
Menurut penganalisis politik Kelantan itu, jika bertanding di Bachok, Nik Abduh yang terkenal dengan ‘Audio Ana Tahu’ itu perlu ingat bahawa ayah beliau yang terkenal, Tuan Guru Nik Aziz pernah kalah di Bachok.
“Satu nota penting bagi Nik Abduh, ayahnya (Nik Aziz) pernah tewas di Bachok dan kekalahan ayahnya itu pertama kali dalam sejarahnya bertanding dalam pilihan raya,” kata Sayuti dalam ulasan di facebook beliau.
Menurut Sayuti, nasib Nik Abduh terumbang ambing dan gagal untuk memasuki Pengkalan Chepa kerana disekat akhirnya bergerak ke Bachok.
“Mulanya beliau dikatakan akan disandarkan untuk mempertahankan kerusi parlimen Rantau Panjang, apabila Zailah Yusuff dikatakan akan diturunkan ke DUN,” kata Sayuti.
Kata beliau, menurut perkembangan terbaharu, Zailah akan dikekalkan di parlimen Rantau Panjang, manakala kerusi Gual Periok yang dikatakan akan ditadinginya kekal kepada Muhamad Awang, atau Mat cikgu Awang Tok Mokpek.
Menurut Sayuti, Nik Abduh tidak lagi boleh bertanding di parlimen Pasir Mas yang dimenanginya dalam PRU 13 lalu kerana kegagalan beliau menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.
“Nik Abduh dibuang dari Pasir Mas apabila Pas Pasir Mas tidak yakin anak Tok guru Nik Aziz itu dapat mempertahankan kerusinya,” kata Sayuti.
Kata Sayuti, terdapat juga maklumat dari dalam yang Nik Abduh akan mengambil sikap berehat buat sementara dalam pilihan raya kali ini sekiranya beliau tidak diletakkan di Pengkalan Chepa.
“Kelmarin saya menghubungi orang dekat dengan beliau menasihatkan agar Nik Abduh harus berada dalam arus pilihan raya kali ini kerana jika beliau mengambil keputusan enggan bertanding menyebabkan beliau akan tertinggal jauh,” tulis beliau.
Nampaknya nasihat dan peringatan itu didengar, kata Sayuti.
“Pagi ini saya mendapat maklumat Nik Abduh diletak untuk bertanding di Bachok. Ini bermakna calon parlimen Bachok, Marzuk Shaari mungkin berpindah kerusi atau pun digugurkan,” katanya.
Jika ini menjadi realiti, 28 April ini pertarungan sengit antara Nik Abdul dengan Awang Adek Hussein daripada BN yang juga pernah memenangi kerusi Bachok dan juga pernah kalah.
Selain BN dan Pas, PH pula akan meletakkan calon dari Bersatu untuk mencuri kerusi dalam pilihan raya kali ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PH juga telah turun ke kawasan ini yang menyaksikan puluhan ribu manusia berhimpun di sini. – MD