Pakatan Harapan, perikatan 4 parti yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, berjaya mencapai impian mustahil mereka malam tadi dengan kempen “Selamatkan Malaysia”, merangkul kemenangan pilihan raya bersejarah yang menyaksikan buat pertama kalinya peralihan kuasa di kerajaan persekutuan.
Pakatan itu meleraikan cengkaman gabungan yang dipimpin Umno ke atas kerajaan sejak Merdeka, dan mengangkat semula Dr Mahathir, 92, ke tampuk pemerintahan, 15 tahun selepas dia mengundur diri.
Pakatan berjaya merangkul 112 kerusi, memberikan majoriti mudah daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Ini akan termasuklah 5 kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah, sekutunya di Sabah.
Dr Mahathir akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini untuk mengangkat sumpah perdana menteri ke-7.
“Pada ketika ini, kita tidak ada perdana menteri,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama pimpinan tertinggi PH di sebuah hotel di sini.
Tumpuan kini beralih kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan dibebaskan dari penjara bulan depan.
Dr Mahathir berkata dia akan menjadi perdana menteri “untuk 2 tahun” bagi membetulkan masalah negara dan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar sebaik sahaja dia mendapat pengampunan diraja atas pensabitan kesalahan liwat. Pensabitan itu menghalang dia dari memegang jawatan itu untuk tempoh 5 tahun.
Keputusan malam tadi memusnahkan Barisan Nasional (BN), dan menimbulkan persoalan tentang masa depan Datuk Seri Najib Razak, serta tunjang BN, Umno, dan parti-parti rakan.
PH turut menawan semua negeri kecuali Pahang, Perlis, Perak dan Kedah.
BN berjaya mempertahankan Pahang dan Perlis. Di Perak, BN menang 27 kerusi negeri, PH 29 dan PAS 3. Sekarang ini BN perlu meyakinkan PAS untuk membentuk satu pakatan jika mahu berkuasa di negeri itu.
Di Kedah, PH menang 18 kerusi, diikuti rapat oleh PAS yang menang 15. BN terpaksa berpuas hati dengan 3 kerusi.
Tiada perubahan di Sarawak, yang mengadakan pemilihan negeri secara berasingan pada 2016.
PAS, yang tidak menyertai PH, mempertahankan Kelantan dan menawan Terengganu selepas kehilangannya pada 2004.
Dr Mahathir dan pakatan pembangkang mendapat kelebihan daripada kemarahan orang ramai terhadap BN dan Najib, menghempaskan tsunami undi-undi masyarakat Melayu luar bandar pada tubuh gabungan itu dalam kempen sengit yang berlarutan sejak 3 tahun lalu.
Dr Mahathir dalam ucapan-ucapan kempennya menggelar Najib seorang “pencuri” atas tuduhan rasuah dan “kleptokrasi” dalam gagasan Najib, 1MDB.
1MDB menjadi senjata pilihan pembangkang selepas kerugian besar yang dialami syariakt itu diketahui ramai, mencecah sehingga RM42 bilion, deposit RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, dan tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mahu menyita AS$1 bilion asete yang dikatakan dibeli oleh dana yang dikaitkan dengan 1MDB.
Najib yakin pengundi Melayu luar bandar, yang menjadi tunjang sokongan Umno, tidak akan mengabaikan dia dan BN. Sebelum ini pada April, dia memberi jaminan tidak akan ada tsunami Melayu terhadap kerajaan.
Beliau berkata strategi pembangkang akan menjejaskan masyarakat Cina, yang sebahagian besarnya menyokong DAP.
Najib berkata Dr Mahathir akan gagal kerana dia mahukan kuasa sebab gagal menundukkan Najib mengikut kehendaknya.
Ahli politik BN turut menuduh Dr Mahathir mahu kembali berkuasa untuk mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri masa depan. Najib berkata Dr Mahathir mengisytiharkan perang selepas Mukhriz gagal mendapatkan jawatan naib presiden dalam Umno, tuduhan yang ditolak Dr Mahathir.
Kemenangan PH malam tadi muncul selepas hari pengundian yang berlangsung secara aman, walaupun terdapat aduan tentang barisan manusia yang panjang di pusat pengundian. – FMT