Pelbagai komen di media sosial kononnya harga minyak di Malaysia, khususnya RON 95 masih mahal, iaitu RM2.20 seliter adalah tidak berasas.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 16 Mei lalu telah pun memansuhkan skim penetapan harga minyak mingguan. Sebelum itu, sepanjang 5 minggu sejak pembubaran parlimen sehingga hari mengundi harga RON 95 kekal pada RM2.20 seliter.
Sedangkan harga dunia bagi minyak mentah indeks Brent menunjukkan kenaikan mendadak daripada AS$66 setong kepada AS$75 sepanjang sebulan lalu. Bermakna harga bagi pasaran tempatan sekiranya BN berkuasa semula selepas 9 Mei akan mencecah RM2.40 seliter.
Bagi ahli parlimen Khalid Samad, kurangnya 20 sen harga minyak berbanding sepatutnya adalah bukti kerajaan telah mengembalikan polisi subsidi. Seterusnya kerajaan akan menunaikan janji manifesto, kenderaan di bawah 1300 cc akan diberi subsidi petrol bersasar.
“Oleh kerana itulah, harga minyak di pasaran tempatan untuk RON95 kekal pada RM2.20 seliter, RON97 pada RM2.47 seliter dan disel RM2.18 seliter.
“Kalau BN menang, sudah pasti harganya sudah lebih RM2.40 seliter untuk RON95 tetapi kita akan kekalkan harga pada paras yang disebut tadi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, Khalid berkata, kerajaan PH juga sedang berusaha untuk mendapatkan kembali wang 1MDB yang telah disonglapkan oleh pentadbiran mantan Perdana Menteri Najib Razak.
Katanya, wang itu akan diperolehi dari kerajaan-kerajaan Amerika Syarikat dan Switzerland yang telah membekukan akaun berkaitan 1MDB setelah penyiasatan dibuat. Dana tersebut, kata Khalid akan digunakan untuk menguatkan kembali ekonomi Malaysia.
“Setelah dana negara menjadi lebih kukuh, kita akan memberi lebih manfaat kepada rakyat. Kita tidak akan lupakan jasa rakyat yang telah mengundi Pakatan,” ujar Khalid lagi.
Pengarah Komunikasi Amanah itu juga berkata, perkara yang penting sekarang ialah untuk mendapat keyakinan daripada pelabur asing supaya ekonomi negara dapat dibaikpulih setelah imej negara dicemar oleh skandal 1MDB yang merupakan penyelewengan terbesar di dunia.
“Sekarang pun, Bursa Saham sudah kukuh kembali dan saya yakin nilai matawang akan kuat semula. Ini akan mengambil masa tetapi saya harap rakyat akan yakin kita berada di atas landasan yang betul
“Berilah masa kepada kami untuk mengotakan semua janji-janji pilihan raya umum,” tambah beliau.