Kerajaan akan menambah baik sistem tahfiz di negara ini dalam meneruskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata antara langkah yang akan dilakukan kerajaan adalah memperketatkan kokurikulum berikutan banyak kokurikulum sekolah tahfiz agak bebas.
“Mereka ikut ‘style’ sendiri. Jadi Jakim sedang bekerjasama dengan Darul Quran yang dah berpengalaman berpuluh tahun.
“Kita bukanlah nak paksa tapi kita nak mereka ikut panduan supaya kurikulum itu menghasilkan pelajar-pelajar yang tak tersisih daripada arus perdana, termasuk kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja,” katanya ketika ditemui di Jakim.
Beliau juga berkata kerajaan akan memastikan guru tahfiz diberi latihan supaya mereka mendapat latihan yang baik.
Beliau berkata pelajar tahfiz yang dilahirkan juga boleh menyumbang kepada negara.
“Dari sudut ini sekolah tahfiz ini dianggap satu entiti yang memberi sumbangan besar pada negara.
“Dan model terbaik kita ada adalah Darul Quran, sebab ia bukan saja belajar tahfiz di peringkat diploma tapi juga ijazah.
“Cara dia buat kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia turut membantu supaya dia keluar nanti ada ijazah,” katanya.
Mujahid berkata kerajaan akan pastikan pelajar tahfiz tidak hanya menjadi imam tetapi berkemahiran seperti pakar dalam pertukangan, elektrikal dan sebagainya.
Selain itu, beliau meminta pengusaha tahfiz telus dan berdaftar dengan badan yang berautoriti.
“Ini supaya kita boleh mengikuti perkembangan mereka.”
Mac lalu, kerajaan Barisan Nasional mendapat perkenan Majlis Raja-Raja untuk melaksanakan DPTN yang merangkumi 4 bentuk kurikulum bagi melahirkan graduan huffaz yang mempunyai keseimbangan ilmu agama dan akademik duniawi pada masa depan.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di bawah kurikulum itu, pelajar bukan sahaja mampu menghafal Al-Quran tetapi turut mempunyai kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), ilmu agama dan bidang profesional. – FMT