Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail meminta ahli parti itu bertenang dan membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lengkap ke atas dua ahli PKR kerana disyaki terlibat dengan rasuah.
“PKR Kedah telah bermesyuarat pada Ahad dan membincangkan isu anggota parti yang ditahan SPRM kerana disyaki terlibat rasuah dalam pemilihan parti.
“Kita sangat memandang serius perkara ini. Walaupun begitu, kita yakin dengan kebolehan dan profesionalisme pihak SPRM dalam menyiasat dan menangani isu ini.
“Apatah lagi di era Malaysia Baru ini SPRM telah diberi kebebasan sepenuhnya untuk bertindak memerangi rasuah di mana jua ia berlaku,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, PKR Kedah yakin pucuk pimpinan tertinggi parti juga akan mengendalikan isu tersebut dengan sebaik mungkin.
“Saya menyeru semua anggota parti khususnya di Kedah supaya bertenang dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak SPRM.
“Kita sama-sama usaha dan doakan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, dua ahli PKR Kedah ditahan SPRM bagi membantu siasatan pembabitan mereka dalam politik wang untuk pemilihan parti itu.